Sabtu, 25 Jun 2022 | 6:37pm
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim beramah mesra dengan sebahagian atlet senior, pelapis dan jurulatih olahraga ketika lawatan sesi latihan atlet di Stadium MSN. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim beramah mesra dengan sebahagian atlet senior, pelapis dan jurulatih olahraga ketika lawatan sesi latihan atlet di Stadium MSN. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Shahidan sasar 10 emas di Kemboja

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyusun langkah awal apabila meletakkan sasaran untuk membawa pulang 10 pingat emas di Sukan SEA Kemboja yang akan berlangsung dari 5 hingga 16 Mei tahun depan.

Presiden KOM, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata beliau yakin matlamat itu mampu dicapai berdasarkan potensi atlet negara yang ada ketika ini.

"Saya cakap perkara ini kerana saya yakin, kita mempunyai ramai atlet cuma prestasi mereka tidak berapa bagus. Jadi kita kena usaha sikit dan kena yakin.

"Jangan putus harapan sebab daripada 41 pingat emas yang ditawarkan dan kita pula tak buat apa-apa itu satu benda yang tidak wajar.

"Kita letakkan matlamat dulu dan kemudian kita usaha untuk capai. Pandangan negatif yang tak percaya itu kita betulkan dan kita lihat masa pertandingan nanti," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama atlet dan jurulatih buat kali sejak kembali menerajui KOM pada 12 Jun lalu.

Dalam pada itu, Shahidan memaklumkan beliau akan mengadakan perbincangan dengan barisan jurulatih untuk kembali membentuk kuartet 4x400 meter bagi mengembalikan kegemilangan acara itu yang Malaysia meraih emas di Sukan SEA Korat 2007 ketika beliau menjadi presiden.

"Saya mahu lihat acara ini menjadi penyumbang pingat kepada negara secara berterusan di Sukan SEA," kata Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.

Terdahulu, pada pertemuan bersama atlet elit dan pelapis negara di Stadium Mini MSN semalam, beliau gembira melihat semangat juang atlet yang sentiasa mahu melakar pencapaian yang lebih tinggi.

"Insya-Allah saya akan berada di sini dari masa ke semasa mungkin seminggu atau dua minggu sekali untuk memantau mereka berlatih.

"Saya bukan saja memerhati mereka berlatih tetapi saya mahukan keputusan yang positif," katanya.

Berita Harian X