Sabtu, 18 Jun 2022 | 9:49pm
Gambar fail NSTP - Jurulatih pecut negara, M Balamurugan.
Gambar fail NSTP - Jurulatih pecut negara, M Balamurugan.

Beri peluang atlet negara sertai banyak kejohanan antarabangsa

KUALA LUMPUR: Peluang menyertai lebih banyak kejohanan di peringkat antarabangsa menjadi harapan tinggi buat jurulatih pecut negara, M Balamurugan dalam memastikan barisan atlet menerima pendedahan terbaik.

Balamurugan berkata atlet Malaysia terutama pelari pecut harus memiliki peluang berkenaan supaya dapat terus berdaya saing selain mengekalkan momentum dalam meraih keputusan lebih positif di kejohanan seperti Sukan SEA.

Justeru itu, dia mengharapkan kepimpinan baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dapat mempertimbangkan harapannya itu terutama selepas dua tahun lebih atlet negara tidak beraksi di kejohanan di luar negara kerana pandemik COVID-19.

"Sebagai jurulatih kami berharap untuk mendapatkan lebih peluang untuk atlet menyertai kejohanan kompetitif di luar negara," katanya. "Selain itu, diharapkan atlet juga menerima lebih banyak tajaan daripada pihak tertentu bagi memudahkan penyertaan mereka menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

"Diharap juga akan ada lebih banyak perbincangan yang membabitkan kejurulatihan dan kepimpinan KOM bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik dalam usaha meningkatkan prestasi atlet."

Pada pemilihan yang berlangsung dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM baru-baru ini, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim kembali diberi mandat menerajui badan induk kebangsaan berkenaan bagi penggal 2022/2025.

Dalam pertandingan itu, Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menewaskan penyandang presiden sebelum ini, Datuk SM Muthu dengan keputusan 20 undi berbalas 16.

Berita Harian X