Khamis, 19 Mei 2022 | 7:00pm
Pelari pecut muda negara, Azeem Fahmi tekad bangkit pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023.
Pelari pecut muda negara, Azeem Fahmi tekad bangkit pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023.

Azeem tak patah semangat, tekad bangkit di Kemboja

HANOI: Selepas dibatalkan dalam saringan 100 meter (m) lelaki di Sukan SEA 2021 semalam, ia langsung tidak mematahkan semangat pelari pecut muda negara, Azeem Fahmi yang tekad bangkit dan membuktikan mampu melakukan sesuatu di Kemboja tahun depan.

Menurut pelari berusia 18 tahun itu, apa yang berlaku semalam biarlah menjadi pengajaran dan perlu dilupakan secepat mungkin agar ia tidak mengganggu persiapannya menggegarkan Sukan SEA Kemboja.

"Saya boleh tidur semalam, cuma benda ini sudah terjadi dan biarlah ia menjadi pengajaran dan pengalaman serta iktibar buat saya," kata Azeem hari ini.

Dia yang membantu kuartet 4x100m lelaki meraih perak dan memecahkan rekod kebangsaan, mengakui sempat untuk melihat aksi final 100m walaupun ketika itu berada dalam keadaan kecewa.

"Saya sebenarnya berada dalam keadaan terbaik dan jika ada rezeki mampu untuk bersaing di kedudukan tiga teratas sekiranya berjaya melayakkan diri ke saingan akhir.

"Bagaimanapun, belum ada rezeki. InsyaAllah selepas ini di Kemboja saya akan kembali semula kerana masih ada ruang dan masa untuk saya memperbaikinya," kata pelari yang terkenal dengan jolokan 'Usain Bolt Malaysia' itu.

Azeem mengakui masih banyak lagi kejohanan yang akan dilaluinya selepas ini termasuk Kejohanan Remaja Dunia dan saingan 4x100m lelaki di Sukan Komanwel Birmingham.

"Semua itu akan membolehkan saya melakukan persiapan dan mematangkan saya. Cuma kali ini memang tidak ada rezeki buat saya," katanya yang dibatalkan saingan dalam saringan kedua 100m lelaki semalam kerana bergerak sedikit awal di blok permulaan.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abd Jalil berharap Azeem tidak perlu untuk berasa putus asa dengan kejadian yang menimpanya semalam di Stadium Nasional My Dinh.

"Dia tidak perlu putus asa kerana masih muda. Dia perlu kawal emosi dan menganggap inilah titik tolak untuk berdepan cabaran agar dia menjadi pelari pecut yang lebih baik.

"Selepas ini dia perlu berhati-hati dan tahun depan di Kemboja perlu buktikan bahawa dia adalah atlet terbaik negara. Jadi perkara ini tidak ada apa kontroversi," katanya.

Manshahar berkata, juri dan pengarah teknikal memang menunjukkan bukti kepada mereka bahawa waktu reaksi Azeem di blok permulaan adalah 0.058 saat lebih awal sebelum pistol pelepasan dibunyikan.

Kejadian semalam memberi ruang buat raja pecut Asia Tenggara diserahkan kepada pelari Thailand yang baru berusia 16 tahunn, Puripol Boonsoon selepas dinobatkan sebagai juara.

Perak menjadi milik seorang lagi pelari Thailand, Soraoat Dapbang dan gangsa diraih, Marc Brian Louis dari Singapura, manakala Arsyad terpaksa berlari dalam kesakitan selepas mengalami kekejangan sejak semalam selepas membantu kuartet 4x100m negara meraih perak serta memecahkan rekod kebangsaan.

Berita Harian X