Isnin, 16 Mei 2022 | 8:28pm
Nor Sarah Adi meraih pingat emas ke-19 kontinjen negara hari ini menerusi acara lompat bergalah di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. - Foto Bernama
Nor Sarah Adi meraih pingat emas ke-19 kontinjen negara hari ini menerusi acara lompat bergalah di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. - Foto Bernama

Nor Sarah raih pingat emas ke-19 negara

HANOI: Nor Sarah Adi menjelmakan pingat emas ke-19 buat kontinjen negara menerusi acara lompat bergalah pada temasya Sukan SEA 2021 di Stadium Nasional My Dinh, di sini, sebentar tadi.

Ketika ditemui, atlet dari Pahang berusia 22 tahun itu berkata emas dalam acara lompat bergalah sama sekali tidak dijangka memandangkan dia ke sini untuk menyertai acara 4x100 meter (m).

"Saya layak untuk 4x100m tetapi menerima peluang untuk menyertai acara lompat bergalah. Tentunya peluang sebegini tidak selalu dapat dan saya mahu menjanjikanyang terbaik walaupun berdepan kekangan masa untuk berlatih (lompat bergalah).

"Saya juga mengalami kecederaan belakang pada minggu lalu namun Alhamdulillah segalanya sudah diatur sebaiknya oleh tuhan. Saya nak melakukan yang terbaik juga dan syukur dapat melakukan lompatan 4m sekali gus memperbaiki catatan peribadi terbaik saya.

"Saya juga rasa seperti bermimpi apabila memenangi pingat emas ini," katanya.

Sarah meraih emas dengan lompatan 4m manakala perak dimenangi atlet Thailand, Chonthicha Khabut (3.80m) dan gangsa dibawa pulang Alyana Joyce Nicolas Martinez dari Filipina, 3.60m.

Dalam pada itu, Sarah turut membantu kuartet 4x100m wanita yang disertai S Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias meraih gangsa dengan catatan 45.32s.

Emas dimenangi Thailand dengan catatan 44.39s manakala perak diraih tuan rumah, Vietnam, 45.25s.

Dalam pada itu, kuartet 4x100m lelaki disertai Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Muhammad Haiqal Hanafi pula mengekalkan perak yang diraih di Filipina 2019 dengan catatan 39.09s manakala Thailand memenangi emas, 38.58s. Gangsa diraih Singapura 39.44s.

Pencapaian kuartet ini turut memecah rekod kebangsaan yang diraih di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 iaitu 39.27s.

Berita Harian X