Isnin, 16 Mei 2022 | 7:54pm
Aksi atlet lompat jauh kebangsaan, Andre Anura Anuar pada Sukan SEA 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, hari ini. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.
Aksi atlet lompat jauh kebangsaan, Andre Anura Anuar pada Sukan SEA 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, hari ini. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin.

'Bukan rezeki saya'

HANOI: "Bukan rezeki saya untuk lompat jauh tapi akan bangkit dalam acara lompat kijang,". Itu azam atlet olahraga negara, Andre Anura Anuar selepas gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian 2019 dengan meraih perak di Sukan SEA 2021 di sini, semalam.

Segala-galanya serba tidak menjadi buat Andre ketika beraksi di Stadium Nasional My Dinh dengan lompatan terbaiknya hanya 7.24 meter (m) berbeza dengan 8.02m yang dilakukan di Manila, juga dengan rekod kebangsaan.

"Banyak lompatan awal dibatalkan, mungkin kesalahan taktikal. Apa yang boleh saya cakap Sukan SEA kali ini bukan rezeki saya. Bagaimanapun, saya masih mempunyai acara lompat kijang," katanya semalam.

Andre memang berharap mampu untuk bangkit semula dalam acara berkenaan esok untuk memperbaiki pencapaian semalam sekali gus tidak pulang hampa ke tanah air.

"Lompatan terakhir saya hari ini (semalam) pada mulanya mampu untuk membuat saya bangkit, rasa sudah jauh bagi bersaing merebut pingat tapi dibatalkan juga disebabkan kesilapan teknikal.

"Saya memang sasar untuk menang emas dalam acara ini dengan beranggapan jika catatan 8m ia adalah satu bonus. Tapi seperti saya katakan tadi, ini bukan rezeki saya walaupun sudah melakukan yang terbaik.

"Kecederaan sebelum ini pula sudah lama pulih. Saya hadir ke sini tanpa sebarang kecederaan. Jurulatih juga memberitahu saya berada dalam keadaan baik. Apa boleh buat ia kurang memberangsangkan banyak lompatan yang dibatalkan," kata atlet berusia 23 tahun itu.

Andre mengakui banyak lompatannya terlebih daripada garisan dan angin pula sedikit kuat, namun ia bukan masalah besar kerana semuanya berbalik kepada kekuatan mental.

Emas dalam acara berkenaan milik wakil tuan rumah, Trong Nguyen Tien yang melakukan lompatan 7.80m, diikuti Janry Ubas Borinaga dari Filipina (7.73m), makala gangsa milik atlet Indonesia, Sapwaturrahman (7.61m).

Berita Harian X