Jumaat, 13 Mei 2022 | 6:46pm
Atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi menjalani latihan di kawasan luar Stadium My Dinh, Hanoi.
Atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi menjalani latihan di kawasan luar Stadium My Dinh, Hanoi.

Iskandar tetap fokus biarpun cedera

HANOI: Atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi berdepan kecederaan pada sesi latihan di sini, hari ini namun percaya ia bukan penghalang untuk dia meraih pingat pada penyertaan keempat temasya Sukan SEA.

Iskandar yang berusia 28 tahun itu berkata, kecederaan terbaru dialaminya itu agak merisaukan namun kekal percaya masih berpeluang meraih pingat dalam acara final yang dijadual berlangsung di Stadium My Dinh, esok.

"Apabila sampai di sini, semuanya okey saja, cuma selepas latihan pemanas badan tercedera sedikit di buku lali kanan dan saya akan membuat pemeriksaan lanjut," kata Iskandar ketika ditemui selepas sesi latihan di sini, hari ini.

"Agak merisaukan juga (kecederaan dialaminya) kerana hanya tiga negara menyertainya (lompat bergalah). Yang saya tahu, Filipina dan Thailand masing-masing menghantar dua atlet dan Malaysia seorang.

"Saya kenal tiga daripada pesaing ini tetapi seorang lagi atlet junior dari Thailand itu saya tidak berapa pasti. Apapun, sasaran saya adalah memperbaiki catatan peribadi terbaik iaitu 5.31 meter (m).

"Dapat pingat ataupun tidak, itu terpulang kepada situasi esok kerana atlet junior dari Thailand itu mempunyai catatan peribadi terbaik lebih kurang dengan saya iaitu 5.30 manakala atlet junior Filipina pula dalam 5m. Oleh itu, harapan untuk meraih pingat itu ada di sini."

Untuk rekod, Iskandar yang pernah beraksi di Suka Asia Incheon 2014 bakal membuat penampilan keempatnya di Hanoi dengan pencapaian terbaik meraih perak pada edisi di Myanmar 2013 manakala bakinya membawa pulang gangsa.

Pada temasya di Filipina tiga tahun lalu, Iskandar yang berasal dari Johor Bahru meraih gangsa dengan lompatan setinggi 5m manakala atlet Filipina, Ernest Obiena meraih emas (5.45m) yang juga rekod baharu temasya. Atlet Thailand, Porranot Purahong meraih perak dengan 5.20m.

Berita Harian X