Isnin, 18 April 2022 | 5:42pm
Datuk Karim Ibrahim (kiri) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Datuk Karim Ibrahim (kiri) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Karim sokong Shahidan

KUALA LUMPUR: Ketika namanya disebut antara calon bagi perebutan kerusi nombor satu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim sebaliknya menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Dr Shahidan Kassim untuk kembali menerajui badan induk itu.

Karim yang kini Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), berkata Shahidan adalah individu yang paling layak bagi memimpin KOM berdasarkan pengalamannya sebagai presiden selama dua penggal bermula 2006 hingga 2012.

"Kalau Datuk Seri Shahidan bertanding, saya pastinya akan beri laluan. Setakat ini, ramai presiden dan setiausaha persatuan negeri bersetuju untuk Datuk Seri Shahidan kembali menjadi presiden.

"Selain itu, saya difahamkan atlet dan jurulatih juga mereka memang mahu Datuk Seri Shahidan kembali mengambil alih kepimpinan KOM. Saya percaya dengan sokongan yang diberikan, Datuk Seri Shahidan akan kembali menerajui KOM.

"Ini adalah untuk kebaikan KOM, atlet, jurulatih dan pegawai," kata Karim yang menjadi timbalan kepada Shahidan ketika menerajui KOM.

Shahidan yang kini memegang portfolio Menteri Wilayah Persekutuan adalah Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs).

Beliau terpaksa melepaskan jawatan presiden sebelum ini selepas tewas kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan pada 2012.

Penyandang jawatan presiden ketika ini, Datuk SM Muthu masih belum memutuskan sama ada mahu mempertahankan kerusi berkenaan atau sebaliknya kerana mahu terlebih dahulu memberi fokus terhadap persiapan ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan.

Setakat ini, hanya Presiden Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang sedia menawarkan diri untuk bertanding merebut kerusi nombor satu KOM sekiranya mendapat sokongan persatuan negeri.

Beliau bagaimanapun, berkata sekiranya ada individu yang lebih baik bagi memegang jawatan itu, beliau sedia memberikan sokongan kepada calon berkenaan.

Pemilihan pucuk pimpinan KOM bagi penggal 2022-2025 dijadual diadakan pada 12 Jun depan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Berita Harian X