Ahad, 17 April 2022 | 11:45am
Pelari pecut muda negara Muhammad Azeem (tengah) memenangi emas acara 200m Terbuka Singapura, semalam.
Pelari pecut muda negara Muhammad Azeem (tengah) memenangi emas acara 200m Terbuka Singapura, semalam.

Azeem raih emas 200m Terbuka Singapura

KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi mula mencipta nama di pentas antarabangsa apabila mendominasi acara 200 meter (m) pada saingan Terbuka Singapura, semalam.

Azeem, 18, yang diberi julukan 'Usain Bolt Malaysia' memastikan pingat emas menjadi miliknya apabila mencatat masa terpantas 21.52 saat (s) sekali gus mengatasi atlet Singapura, Reuben Rainer Lee yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 21.59s.

Gangsa dimenangi pelari yang mewakili Wings Athletic Club, Jonathan Bull dengan catatan 23.13s. Bagi Azeem, kejayaan itu disifatkan sebagai permulaan yang baik buat dirinya memandangkan ia adalah kejohanan antarabangsa dan terbuka pertama yang disertainya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Februari lalu.

"Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana dapat tamatkan larian hari ini (semalam). Ini adalah pengalaman yang cukup berharga buat saya apabila dapat berlari dengan pelari pecut dari negara lain.

"Sebenarnya saya tidak letak sebarang sasaran pun untuk kejohanan ini sebaliknya hanya mahu mendapatkan semula momentum larian selepas kembali menjalani latihan penuh.

"Apa pun saya gembira dengan catatan masa di kejohanan ini," kata Azeem yang mempunyai catatan peribadi terbaik dalam acara 200m 21.04s ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Peral All-Comers 2020.

Pada tahun 2019, Azeem yang berasal dari Perak mencetuskan fenomena apabila diiktiraf sebagai pelari remaja terpantas dunia untuk peringkat bawah 16 tahun dalam acara 200m apabila mencatatkan masa 21.24s di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang mana ketika itu dia berusia 15 tahun.

Sementara itu, atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mendapat tonik terbaik menjelang Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan apabila meraih gangsa, semalam.

Ziyad yang membuat lontaran sejauh 16.54 meter (m) terpaksa akur tewas di tangan dua atlet Filipina, John Albert Mentua yang memenangi emas dengan catatan 17.33m manakala Wiiliam Edward meraih perak (16.6m).

Berita Harian X