Isnin, 4 April 2022 | 6:22pm
Pelari Perak, Muhammad Azeem Mohd Fahmi (kanan) ketika memenangi acara 200m individu lelaki pada kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Mini MSN Bukit Jalil, bulan lalu. - Foto NSTP/Fathil Asri.
Pelari Perak, Muhammad Azeem Mohd Fahmi (kanan) ketika memenangi acara 200m individu lelaki pada kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Mini MSN Bukit Jalil, bulan lalu. - Foto NSTP/Fathil Asri.

Azeem kini fokus Terbuka Singapura selepas selesai SPM

KUALA LUMPUR: Bintang muda negara, Muhammad Azeem Fahmi mengakui lega apabila dia kini boleh memberikan fokus sepenuhnya terhadap latihan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bulan lalu.

Pelari pecut berusia 18 tahun itu berkata dia akan menyertai Terbuka Singapura pada 16 dan 17 April ini sebagai medan untuk menilai kemampuan sebenarnya di kejohanan terbuka buat kali pertama.

"Saya tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya hanya ingin melakukan yang terbaik. Tambahan pula Terbuka Singapura ini adalah kejohanan pertama saya di kejohanan terbuka dan kalau boleh saya ingin menimba pengalaman sebanyak mungkin sebelum ke Sukan SEA.

"Setiap kali menyertai pertandingan memang saya tidak letakkan sebarang sasaran. Sebaliknya saya hanya mahu menikmati pertandingan dan lakukan yang terbaik tapi kalau boleh mungkin nak perbaiki catatan saya (10.37 saat)," katanya yang turut disenaraikan membarisi kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, bulan depan.

Azeem yang diberi julukan sebagai 'Usain Bolt' Malaysia mencipta sensasi apabila menjadi pelari terpantas Malaysia tahun ini dengan catatan 10.37s ketika mengungguli saingan Kuala Lumpur (KL) All Comers, bulan lalu.

Catatan itu menyaksikan dia memperbaharui rekod peribadi terbaiknya dalam acara 100m yang mana dia sebelum ini mencatatkan 10.53s ketika menyertai Terbuka Malaysia, 5 Mac lalu. Malah, Azeem turut cemerlang merangkul emas dalam acara 200m di kejohanan yang sama.

Azeem yang berasal dari Perak berpeluang untuk membuktikan kehebatannya apabila membawa cabaran Malaysia pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada Ogos ini.

Berita Harian X