Ahad, 3 April 2022 | 8:31pm
Fatin sepatutnya layak beraksi ke Sukan Sea Hanoi. - Foto Agensi
Fatin sepatutnya layak beraksi ke Sukan Sea Hanoi. - Foto Agensi

Fatin Ilyana tak putus asa, sedia bangkit

KUALA LUMPUR: Walaupun mengakui masih kecewa selepas tidak disenaraikan ke Sukan SEA Hanoi, atlet pecut remaja wanita negara, Fatin Ilyana Mat Nayan tidak akan berputus asa bagi mencipta nama dalam sukan olahraga.

Pelari berusia 19 tahun itu berkata dia bersyukur apabila ramai yang tampil memberikan kata-kata semangat dan perangsang untuk melupakan episod duka itu.

Nama Fatin menjadi bualan hangat baru-baru ini selepas dia tidak disenaraikan dalam kuartet 4x100 meter wanita ke Hanoi biarpun mempunyai catatan masa yang lebih baik berbanding atlet yang dipilih.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberitahu sebelum ini catatan masa 11.97 saat (s) yang dirakamkan Fatin ketika saingan Kuala Lumpur All Comers, minggu lalu adalah selepas tarikh kelayakan dan pendaftaran untuk Sukan SEA.

Berdasarkan catatan terbaik musim ini, Zaidatul Husniah Zulkifli, 29, mempunyai pencapaian terbaik dengan catatan 11.62s, diikuti dua atlet berusia 22 tahun - Nor Sarah Adi (11.89s) dan Azreen Nabila Alias (11.90s) - serta Fatin Ilyana (11.97s).

Bagaimanapun KOM hanya mendaftarkan nama Azreen, Zaidatul Husniah, S Komalam Sally, Siti Fatima Mohamad, Mur Aisyah Rofina Aling dan Nor Sarah Hadi.

Keputusan itu jelas menimbulkan rasa tidak puas hati buat Fatin yang merasakan dirinya dipermainkan apabila sebelum ini diberitahu Kuala Lumpur All Comers menjadi kejohanan terakhir untuk pemilihan.

"Secara jujurnya, saya kecewa dan berasa sedih sangat. Segala usaha saya untuk cuba melayakkan diri ke temasya Sukan Sea musnah.

"Namun, saya akan cuba kembali bangkit untuk terus mencipta nama dalam sukan olahraga yang mula diceburi sejak usia saya sembilan tahun," katanya.

Berita Harian X