Ahad, 20 March 2022 | 7:03pm
Gambar fail - Atlet kebangsan, Yap Sean Yee dalam satu kejohanan sebelum ini.
Gambar fail - Atlet kebangsan, Yap Sean Yee dalam satu kejohanan sebelum ini.

Sean Yee kini fokus layak Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Selepas terlepas peluang beraksi pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei ini, atlet lompat tinggi wanita kebangsan, Yap Sean Yee kini mengalihkan fokusnya bagi memburu tiket ke Sukan Asia Hangzhou, pada September.

Pemegang rekod kebangsaan itu tidak dapat disenaraikan ke Hanoi selepas gagal melepasi had kelayakan susulan masalah kecederaan yang membelenggu dirinya.

Sean Yee berkata tempoh masa yang ada ketika ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melakukan proses pemulihan di samping memperbaiki kualiti lompatannya untuk memburu tiket secara merit ke Hangzhou.

"Saya tidak melepasi had kelayakan ke Sukan SEA, lagipun saya cedera sewaktu kejohanan pertama. Kategori A memang tiada peluang dan kategori B pula lebih kepada menghantar atlet remaja.

"Mereka (Kesatuan Olahraga Malaysia) tidak akan menghantar dua atlet untuk lompat tinggi wanita. Jadi, saya tidak meletakkan apa-apa harapan untuk Sukan SEA, cuma fokus kepada pemulihan dan latihan.

"Apa yang saya boleh buat sekarang ialah cuba layak ke Sukan Asia. Kelayakan ke Sukan Asia adalah 1.82 meter (m) dan 1.84m untuk Sukan Komanwel," katanya.

Ketiadaan Sean Yee yang mencipta rekod kebangsaan dengan catatan 1.83m pastinya satu kehilangan besar buat skuad olahraga negara kerana dia adalah pemenang pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Dia ketika itu berkongsi pingat emas dengan Wanida Boonwan dari Thailand selepas masing-masing melepasi had ketinggian 1.81m.

Cabaran skuad olahraga negara dalam acara lompat tinggi wanita di Hanoi akan digalas atlet muda, Ngu Jia Xin yang dipilih atas tiket kategori B.

Berita Harian X