Rabu, 16 March 2022 | 8:26pm
Atlet lompat tinggi kebangsaan, Mohamad Eizlan Dahalan. - Foto ihsan Twitter
Atlet lompat tinggi kebangsaan, Mohamad Eizlan Dahalan. - Foto ihsan Twitter

Eizlan perlu timba pengalaman berharga di Vietnam

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi kebangsaan, Mohamad Eizlan Dahalan diharap dapat menimba pengalaman berharga pada temasya Sukan SEA Vietnam di Hanoi pada 12 hingga 23 Mei ini.

Eizlan, 23, disenaraikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi mengiringi atlet senior, Nauraj Singh di temasya berkenaan dan mengenepikan Lee Hup Wei yang dilihat dibelenggu kecederaan sekali gus tidak melepasi had kelayakan ditetapkan.

Walaupun keputusan itu tampak berisiko terutama dalam pungutan pingat, bagi Presiden KOM, Datuk SM Muthu, ia dilihat bertepatan bagi memberi peluang kepada atlet baharu meraih pengalaman di pentas Sukan SEA.

"Pada masa ini, Hup Wei dibelenggu kecederaan, tak boleh mengambil bahagian dan tidak mencapai had kelayakan dalam satu tahun. Oleh kerana itu, kita menyenaraikan atlet baharu dan memberi laluan kepada Eizlan untuk mengambil bahagian dalam lompat tinggi.

"Hup Wei orang lama, tetapi dalam tempoh setahun yang lalu, tak mencapai kualiti diinginkan. Oleh sebab itu, kita berikan laluan kepada orang muda. Walaupun orang baharu, tetapi kita beri laluan kepadanya untuk ambil bahagian serta timba pengalaman.

"Walaupun mungkin tak boleh mencapai pingat, itu bukan masalah kerana pengalaman lebih berharga untuk dirinya sebelum mencapai sesuatu yang lebih baik di masa depan," kata Muthu.

Sebelum ini, Hup Wei sudah meraih empat pingat emas di Sukan SEA bermula pada edisi 2007, 2009, 2011 dan 2019 manakala Nauraj memenanginya pada edisi 2013, 2015 dan 2017.

"Saya berterima kasih kepada Hup Wei, lebih kurang 18 tahun mengambil bahagian dalam lompat tinggi dan banyak meraih emas buat negara. Kami sekali lagi mengucapkan terima kasih dan pada masa depan, mungkin boleh menjadi jurulatih dan pengalaman dimilikinya dicurahkan kepada atlet muda.

"Apapun, ini terpulang kepada dia. Saya tak boleh memaksa beliau dan itu adalah cadangan saya untuk dirinya," kata Muthu sambil menambah KOM mengharapkan lima emas dan masing-masing tujuh perak dan gangsa diraih di Hanoi nanti.

Berita Harian X