Rabu, 2 Februari 2022 | 5:54pm
Nauraj duduki tempat kedua kejohanan Hvezdy v Nehvizdech yang diadakan di Tipsport Arena di Prague, Republik Czech, Ahad lalu.
Nauraj duduki tempat kedua kejohanan Hvezdy v Nehvizdech yang diadakan di Tipsport Arena di Prague, Republik Czech, Ahad lalu.

Tonik Nauraj

KUALA LUMPUR: Selepas terlepas pingat emas tiga tahun lalu, jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa memberi petanda dia sudah bersedia untuk menebus kekecewaan itu menjelang Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei depan.

Pada edisi 2019 di Clark, Filipina, atlet berusia 30 tahun itu terpaksa akur dengan meraih perak apabila tewas di tangan rakan senegara, Lee Hup Wei yang membawa pulang emas menerusi kiraan semula selepas kedua-dua atlet tinggi lampai itu mencatat ketinggian sama.

Bagaimanapun, berbaki empat bulan sebelum temasya di Hanoi membuka tirainya, Nauraj membuktikan dia sudah bersedia untuk kembali meletakkan namanya sebagai pemenang emas selepas berjaya memadam rekod lompat tinggi dalam dewan kebangsaan sebanyak dua kali dalam tempoh tiga hari.

Olimpian negara itu memperbaharui rekod berkenaan dengan catatan 2.27 meter (m) ketika meraih tempat kedua pada kejohanan Hvezdy v Nehvizdech yang diadakan di Tipsport Arena di Prague, Republik Czech, Ahad lalu.

Kejayaan itu memadam rekod lama yang dilakukan Nauraj tiga hari sebelum itu dengan catatan 2.22m dalam kejohanan Kladno Indoor pada 27 Januari lalu.

Lebih manis, catatan 2.22m yang dilakukan Nauraj menyaksikan dia sudah melayakkan diri ke Sukan SEA Hanoi yang akan bermula 12 hingga 23 Mei depan.

"Saya menjadikan pengalaman sebagai kelebihan kerana ini adalah kali ketiga saya bertanding pada kejohanan ini.

"Saya akui trek yang digunakan di sini agak sukar dan bukannya kegemaran saya. Penampilan kali ketiga ini menjadikan saya lebih tenang.

"Saya gembira dengan catatan baharu 2.27m iPB (rekod peribadi dalam dewan) ini," kata Nauraj menerusi hantaran di laman Instagram miliknya.

Sebagai rekod, Nauraj yang memiliki catatan peribadi terbaik 2.30m yang juga rekod kebangsaan sudah tiga kali memenangi emas Sukan SEA bermula edisi 2013 di Naypydiaw, 2015 di Singapura dan 2017 di Kuala Lumpur.

Berita Harian X