Selasa, 14 Disember 2021 | 6:34pm
Jaguh lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei. - Foto BERNAMA
Jaguh lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei. - Foto BERNAMA

Sukan Asia 2022 penampilan terakhir Hup Wei

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei memberi bayangan Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China kemungkinan besar menjadi penampilan terakhirnya sebagai atlet negara.

Atlet berusia 34 tahun itu, berkata dia sememangya merancang untuk bersara dan memberi tumpuan kepada perkara lain.

Katanya, dia kini dalam persiapan bagi menghadapi Sukan Asia Dalam Dewan yang dijadual berlangsung, Februari depan.

"Saya bercadang mahu bersara selepas berakhirnya Sukan Asia dan untuk itu akan berusaha mencipta keputusan positif pada penyertaan di beberapa kejohanan lain supaya layak ke Komanwel dan Asia.

"Jika diikutkan, tahun depan ada lebih kurang 10 kejohanan bakal sertai dan berharap dapat menyertainya untuk meningkatkan lagi keupayaan seterusnya mencapai sasaran ditetapkan.

"Sekarang ini saya tiada masalah kecederaan cuma perlu banyakkan latihan untuk capai tahap terbaik dan mampu sekurangnya memecah rekod kebangsaan," katanya yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA empat kali.

Kali terakhir Hup Wei beraksi dalam pertandingan adalah di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan dia gagal melepasi pusingan kelayakan.

Berita Harian X