Jumaat, 15 Oktober 2021 | 7:18am
Agnes Tirop ditikam hingga mati.
Agnes Tirop ditikam hingga mati.

Polis tahan suami Tirop

NAIROBI: Polis Kenya hari ini menahan suami kepada pelari jarak jauh, Agnes Tirop, yang ditikam hingga mati dalam insiden yang mengejutkan negaranya dan dunia olahraga.

Emmanuel Rotich ditahan di bandar pesisiran pantai Mombasa kerana kematian pelari berusia 25 tahun yang juga pemenang dua kali pingat kejohanan dunia dan Olimpik yang dilabelkan sebagai bintang meningkat naik itu.

"Dia kini ditahan di penjara selepas ditangkap ketika mahu melarikan diri," kata Pengarah Siasatan Jenayah, George Kinoti kepada AFP dengan polis mengeluarkan gambar suspek yang digari.

Kinoti berkata, Rotich dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini sambil berkata: "Dia akan berdepan dakwaan selepas semua siasatan dijalankan."

Polis Kenya menahan Emmanuel Rotich (kanan), suami atlet Olimpik Agnes Tirop (kiri) yang ditemui mati ditikam di rumahnya di Kenya.
Polis Kenya menahan Emmanuel Rotich (kanan), suami atlet Olimpik Agnes Tirop (kiri) yang ditemui mati ditikam di rumahnya di Kenya.

Akhbar di Kenya melaporkan pasangan itu mengalami masalah rumah tangga.

Ucapan takziah buat Tirop hadir sejak mayatnya dengan kesan tikaman dalam bilik di rumahnya di barat Kenya ditemui.

"Pembunuhan seorang juara," menjadi tajuk akhbar harian Kenya, Daily Nation.

Olahraga Kenya berkata mereka menangguhkan acara selama dua minggu sebagai menghormati Tirop dan seorang pelari lain yang ditemui mati pada hujung minggu dipercayai akibat membunuh diri.

Presiden Olahraga Kenya, Jackson Tuwei berkata kematian Tirop adalah "kerugian besar" buat olahraga sambil menggambarkannya sebagai "seorang daripada bintang paling cepat meningkat" sambil menyuarakan harapan untuk kes itu diadili secepat mungkin. - AFP

Berita Harian X