Isnin, 24 Ogos 2020 | 6:50pm
Ahmad Shapawi bersama Ziyad (kiri) memasang bendera di kereta ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet negara sempena Hari Kebangsaan ke-63. - FOTO STU/SHAHMI IMRAN
Ahmad Shapawi bersama Ziyad (kiri) memasang bendera di kereta ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet negara sempena Hari Kebangsaan ke-63. - FOTO STU/SHAHMI IMRAN

Ziyad tak sabar nak bertanding

KUALA LUMPUR: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli berharap dapat menyertai satu atau dua kejohanan dalam masa terdekat bagi persiapan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo tahun depan.

Atlet berusia 30 tahun itu berkata, dia kini berada pada tahap prestasi terbaik untuk kembali menyertai sebarang kejohanan di luar negara.

"Buat masa sekarang ini, saya belum dapat berita lagi boleh menyertai kejohanan di luar negara.

"Saya harap mungkin dalam bulan November atau Disember nanti saya boleh beraksi dalam kejohanan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet negara sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Majlis yang berlangsung dalam skala kecil itu susulan pandemik COVID-19 yang masih belum reda disempurnakan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Mengulas lanjut, Ziyad yang juga pemenang pingat emas Paralimpik Rio 2016 mengakui prestasinya menurun secara drastik susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan COVID-19.

"Memang prestasi saya menurun kerana sepanjang PKP tidak dapat menjalani latihan. Namun, selepas dapat kembali berlatih semula dalam tempoh tiga bulan setengah ini, prestasi saya sudah stabil dan sudah capai apa yang saya mahukan.

"Jadi, saya sudah bersedia menyertai sebarang kejohanan di luar negara," katanya.

Berita Harian X