Ahad, 16 Ogos 2020 | 1:13pm
ATLET Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), Muhammad Hilmi Zakuwan Yusri Azhar (kiri) bersama jurulatihnya, Asro Othman selepas merangkul pingat emas dalam Asean School Games di Indonesia tahun lalu. FOTO Ihsan SSMT.
ATLET Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), Muhammad Hilmi Zakuwan Yusri Azhar (kiri) bersama jurulatihnya, Asro Othman selepas merangkul pingat emas dalam Asean School Games di Indonesia tahun lalu. FOTO Ihsan SSMT.

Zakuwan idam beraksi di pentas Olimpik

KUALA TERENGGANU: Selepas tersenarai dalam program pelapis skuad kebangsaan, atlet lari berpagar Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), Muhammad Hilmi Zakuwan Yusri Azhar, memasang impian menggunung untuk beraksi pada pentas Sukan Olimpik satu hari nanti.

Atlet berpotensi berusia 17 tahun itu menduduki rangking ke-15 Asia dan ke-190 dunia dalam acara 110 meter (m) lari berpagar tahun lalu dengan catatan 14.15 saat, mengakui begitu teruja dipilih selain bersyukur impiannya untuk menyarung jersi negara bakal menjadi kenyataan.

"Harapan saya adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik suatu hari nanti dengan mengutip pingat emas selepas terpilih dalam program pelapis kebangsaan.

"Walaupun perjalanan masih berliku, saya tekad untuk beraksi pada pentas tertinggi itu dengan fokus ketika latihan, menjaga disiplin, solat lima waktu di samping solat sunat dhuha dan solat hajat selain perlu menghormati ibu bapa, guru-guru dan juga jurulatih," katanya.

Kejayaan tertinggi atlet itu setakat ini adalah ketika mewakili negara pada pentas Asean School Games di Indonesia tahun lalu dalam acara 110m lari berpagar dengan membawa pulang satu pingat emas dan rekod baharu kejohanan.

Dia juga merangkul emas dan rekod baharu dalam acara 110m lari berpagar pada Thailand Sports School Games 2019 serta pingat emas dan rekod baharu dalam acara 110m lari berpagar bawah 18 tahun pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Sementara itu jurulatihnya, Asro Othman berkata, Olahragawan Harapan SSMT 2018 itu adalah pelajar pertama SSMT tersenarai ke program pelapis kebangsaan berdasarkan pencapaian sepanjang tahun 2019 dengan berjaya mencatat semua kemenangan dan melakar rekod baharu dalam acara yang disertai.

"Selain itu dia (Zakuwan) berjaya melepasi catatan masa dalam acara disertai sebagaimana ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

"Zakuwan adalah antara permata termuda tersenarai ke program berkenaan berbanding atlet lain yang berada di pra-universiti Sekolah Sukan Malaysia kerana bakat dalam acara 110m dan 400m lari berpagar.

"Harapan saya mahu melihat dia layak beraksi pada pentas Olimpik sebagaimana impiannya kerana kualiti dan potensi yang ada pada atlet itu cukup besar dengan usianya apabila berjaya mengharumkan nama negara pada pentas Asean," katanya.

Berita Harian X