Ahad, 9 Ogos 2020 | 1:48pm
Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail. - Foto Aizuddin Saad
Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail. - Foto Aizuddin Saad

Hakimi optimis layak ke Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail optimis mampu layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Atlet berusia 29 tahun itu, berkata ada tiga cara yang membolehkan dia melayakkan diri ke Tokyo.

"Pertama, dengan melepasi had kelayakan yang ditetapkan iaitu 17.14 meter (meter). Biarpun catatan terbaik saya adalah 16.77m dan agak jauh lagi dengan had kelayakan itu, namun saya tetap percaya saya boleh lakukannya.

"Kedua, jika saya gagal melepasi had kelayakan, saya masih ada peluang untuk layak menerusi ranking dunia. Saya perlu kumpul seberapa banyak mata yang boleh bagi memperbaiki kedudukan ranking dunia menerusi kejohanan yang akan saya sertai nanti.

"Ketika ini saya berada di kedudukan 57 dan sekurang-kurangnya saya perlu berada dalam kelompok 30 terbaik dunia untuk berpeluang layak.

"Sekiranya gagal juga, saya mengharapkan diberikan slot wild card tetapi itu keputusan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) untuk tentukan," katanya kepada BH Sukan.

Pemegang rekod kebangsaan itu, berkata kebimbangannya ketika ini adalah mengenai penganjuran kejohanan yang masih belum ada tanda-tanda akan diadakan susulan pandemik COVID-19.

"Kalau ikutkan, Disember sudah mula kelayakan ke Sukan Olimpik tetapi sehingga kini belum ada lagi pengesahan mengenai kejohanan yang akan diadakan.

"Situasi ini sebenarnya memberi kesukaran kepada kami untuk merancang program latihan.

"Saya harap dapat menyertai sekurang-kurangnya lima atau enam kejohanan tahun depan untuk layak ke Sukan Olimpik. Selain cuba untuk melepasi had kelayakan, saya juga mahu mengumpul mata untuk perbaiki ranking dunia," kata pemenang pingat emas Sukan SEA tiga kali itu bermula edisi 2015, 2017 dan 2019.

Berita Harian X