Selasa, 31 March 2020 | 9:06pm
Atlet tukul besi negara, Jackie Wong. - NSTP/Aswadi Alias
Atlet tukul besi negara, Jackie Wong. - NSTP/Aswadi Alias

Jackie semakin pulih

KUALA LUMPUR: Atlet tukul besi negara, Jackie Wong yang sebelum ini dijangkiti COVID-19 ketika ini semakin menunjukkan tanda pulih dengan dirinya masih dirawat di Hospital Sibu, Sarawak.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, sampel ujian kali ketiga diambil Sabtu lalu menunjukkan keputusan negatif dan atlet itu sudah melakukan ujian terakhir bagi memastikan dirinya bebas jangkitan sepenuhnya.

“Bagaimanapun, beliau masih perlu melalui ujian kali terakhir yang sudah dibuat pada 30 Mac 2020 untuk menentukan beliau benar-benar bebas dari jangkitan berkenaan dan keadaan beliau ketika ini adalah sihat,” kata Shapawi.

Shapawi turut menjelaskan pihaknya bersama Institut Sukan Negara (ISN) melalui Jawatankuasa Bertindak COVID-19 sudah melakukan beberapa tindakan segera susulan isu membabitkan Jackie, antaranya menutup kesemua pusat latihan di Bukit Jalil dan di luar Bukit Jalil.

“Terdapat 107 orang atlet, jurulatih dan pegawai yang terpaksa melalui proses kuarantin sama ada di Casa 1, MSN atau “supervised self-quarantine” di rumah masing-masing berdasarkan beberapa kluster iaitu kluster 1 (kumpulan atlet dan pegawai yang mempunyai hubungan kontak primer (rapat) bagi tempoh 1 hingga 10 Mac 2020 dengan Jackie Wong).

“Kluster 2 (kumpulan atlet 2 yang mempunyai hubungan kontak sekunder (tidak langsung) bagi tempoh 1 hingga 10 Mac 2020 dengan Jackie Wong) dan kluster 3 (kumpulan atlet dan pegawai yang langsung tidak mempunyai hubungan kontak dengan Jackie Wong serta baru pulang dari luar negara sama ada menyertai pertandingan ataupun selepas mengikuti latihan di luar Negara).

“Sehingga 30 Mac 2020, daripada 107 yang dikuarantin, seramai 86 orang sudah menjalani ujian sama ada melalui Pejabat Kesihatan Daerah ataupun pihak swasta dan keputusan ujian yang diperolehi adalah negatif.

“Manakala baki 21 orang yang tidak perlu melakukan ujian juga adalah bebas dari proses ‘home quarantine’ apabila tidak menunjukkan sebarang gejala selepas tamat proses kuarantin selama 14 hari,” kata Shapawi yang turut menjelaskan pihaknya sudah melakukan proses sanitasi peringkat pertama pada 17 Mac lalu.

“Bagi tujuan pencegahan juga, pihak MSN dan ISN sudah melakukan proses sanitasi peringkat pertama pada 17 Mac 2020 membabitkan kawasan dikunjungi Jackie Wong serta proses sanitasi peringkat kedua turut dilakukan pada 24 Mac 2020 dan peringkat ketiga pada 25 Mac 2020 membabitkan keseluruhan Kompleks MSN, ISN dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan di Bukit Jalil.

“Sememangnya harapan kita, tiada lagi jangkitan yang akan membabitkan atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara dan mereka dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan terus di hospital mahupun pejabat kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut jika terdapat simptom berkaitan virus COVID-19 ini.

“Atlet perlu terus melakukan latihan persendirian berdasarkan program latihan yang dibekalkan jurulatih masing-masing. Semua atlet dan jurulatih serta pegawai sukan diminta untuk mematuhi segala arahan dan panduan dikeluarkan pihak kerajaan dari semasa ke semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X