Ahad, 29 Disember 2019 | 6:08pm
Atlet pecut negara, Muhammad Haiqal Hanafi ketika meraih pingat emas dalam acara 100 meter pada Sukan SEA ke-30 Filipina 2019 . - NSTP/Aizuddin Saad

Haiqal sabar tunggu masa pecah rekod

 

KUALA LUMPUR: Tahun 2020 tampak bukan masa yang sesuai untuk memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m).

Raja pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal Hanafi berkata, buat masa ini dia meletakkan sasaran untuk mendapatkan kepantasan kira-kira 10.20 saat (s) dalam acara riben biru itu.

“Untuk memecahkan rekod kebangsaan 10.18s (milik Khairul Hafiz Jantan) tahun depan adalah terlalu awal kerana saya hanya sasarkan berlari 10.20s pada kejohanan tahun depan.

“Tapi, jika rezeki saya berjaya memecahkan rekod kebangsaan, ia adalah satu bonus besar buat saya,” kata Haiqal yang muncul manusia terpantas di rantau Asia Tenggara selepas meraih pingat emas acara 100m dengan catatan masa 10.35s di Sukan SEA di Stadium Olahraga New Clark City, Filipina, baru-baru ini.

Catatan 10.35s dilakar Haiqal di Filipina turut menyaksikan dia mencatatkan rekod peribadi serta pencapaian terbaik musim ini.

Disoal adakah dia berhasrat menimba ilmu dengan berkelana ke luar negara selepas ini, pelari berusia 20 tahun berkenaan menegaskan dia sentiasa bersedia andai kata ia dapat meningkatkan catatan masa.

“Saya akan bersama jurulatih saya, Mohd Poad Md Kassim tetapi jika saya dihantar ke luar negara, saya akan pergi kerana ia paling terbaik untuk saya memperbaiki catatan masa.

“Jika saya diberi peluang ke luar negara, saya juga berharap agar jurulatih dapat turut serta kerana dia yang menaikka

n saya dari bawah sehingga ke tahap ini,” kata Haiqal kepada BH Sukan.

Mengulas mengenai Kejohanan Dalam Dewan Asia Ke-9 di Hangzhou, China pada 12 dan 13 Februari depan, Haiqal yang beraksi dalam acara 60m berkata dia tidak meletakkan sebarang sasaran pingat.

Sebaliknya, Haiqal lebih mementingkan catatan masa kerana ia adalah penampilan pertama dirinya untuk kejohanan dalam dewan.

Berita Harian X