Ahad, 8 Disember 2019 | 8:36pm
MUHAMMAD Haiqal Hanafi meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki sempena Sukan SEA ke-30 Filipina 2019 di Clark Parade Ground, Clark. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

Khairul Hafiz turut bantu saya - Haiqal

CLARK: Tanpa berselindung, raja pecut baharu Asia Tenggara, Muhammad Haiqal Hanafi mengakui rakan seangkatannya Khairul Hafiz Jantan turut memainkan peranan penting di sebalik kejayaannya memenangi pingat emas 100m Sukan SEA 2019.

Atlet berusia 20 tahun itu, berkata apa tidaknya sebelum turun `membakar’ trek di Stadium Olahraga New Clark City, petang tadi dia mendapat suntikan semangat dan teknik larian yang dikongsi oleh bekas juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu.

"Selepas berakhir aksi separuh akhir pada tengahari tadi, dia (Khairul Hafiz) telah memberi saya semangat dan cuba membantu meningkatkan teknik larian saya.

"Alhamdulillah, saya buat apa disuruhnya dan akhirnya berjaya," katanya.

Terdahulu, anak kelahiran Negeri Sembilan itu melalui hari yang tidak dapat dilupakan apabila berjaya meraih pingat emas acara riben biru selepas membakar trek dengan kepantasan 10.35 saat (s).

Ia secara tak langsung memperbaharui rekod peribadinya sendiri, namun masih jauh daripada rekod kebangsaan yang terus dipegang oleh Khairul Hafiz (10.18s) yang dilakukan pada Sukan Malaysia 2016.

Tempat kedua dimenangi pelari dari Thailand, Ruttanapon Sowan dengan 10.49s. diikuti rakan senegaranya, Lac bandit Chuanchai juga dari Thailand di tempat ketiga (10.52s).

Jelas Haiqal, kejayaan itu amat bermakna baginya kerana ia adalah penampilan sulungnya dalam acara individu di pentas Sukan SEA.

"Kejayaan paling besar saya sebab ini adalah kali pertama saya beraksi dalam acara individu di Sukan SEA dan saya buktikan saya boleh lakukan. Saya pun tak jangka saya boleh menang.

"Walaupun tanpa jurulatih Poad (Mohd Kassim), saya buktikan boleh berikan yang terbaik," katanya yang pada edisi Kuala Lumpur 2017 beraksi dalam acara 4x100m.

Berita Harian X