Sabtu, 5 Oktober 2019 | 8:25am
Juara dan pemecah rekod dunia 400m lari berpagar wanita, Dalilah Muhammad pada Kejohanan Dunia, malam tadi. - Foto EPA

Dalilah pecah rekod dunia 400m berpagar

DOHA: Dalilah Muhammad dari Amerika Syarikat memecahkan rekod dunia acara 400m lari berpagar manakala tuan rumah Qatar meraikan pingat emas lompat tinggi menerusi Mutaz Essa Barshim di Kejohanan Dunia malam tadi.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Khalifa itu menyaksikan Dalilah memecahkan rekod dunia buat kali kedua tahun ini untuk memenangi acara itu dengan catatan 52.16 saat.

Juara Olimpik berusia 26 tahun itu mengatasi rakan senegara Sydney McLaughlin, manakala Rushell Clayton dari Jamaica meraih gangsa.

“Saya hanya mensasarkan gelaran dunia tetapi memecahkan rekod dunia sekali lagi adalah menakjubkan,” kata Dalilah yang memperbaharui catatan 52.20 dilakukannya pada Julai.


Aksi Dalilah Muhammad (dua dari kiri) pada acara 400m lari berpagar wanita bersama pemenang kedua, Sydney McLaughlin (dua dari kanan) di Kejohanan Dunia malam tadi. - Foto EPA

Atlet lompat tinggi Qatar, Barshim menceriakan penyokong tuan rumah apabila meraih emas dengan lompatan 2.37 meter.

Barshim hampir tersingkir pada ketinggian 2.33m tetapi dia berjaya melepasinya pada percubaan ketiga dan terakhir.

Dua atlet Russia Mikhail Akimenko dan Ilya Ivanyuk memenangi perak dan gangsa.

Dalam acara 400m lelaki, Steven Gardiner dari Bahamas meraih emas dengan catatan 43.48 saat, diikuti Anthony Jose Zambrano dari Colombia dan Fred Kerley (Amerika Syarikat). – AFP

 

Berita Harian X