Ahad, 29 September 2019 | 9:10am
CHRISTIAN Coleman menang pingat emas acara 100 meter di Kejohanan Dunia di Doha, pagi tadi. - Foto AFP

Coleman catat  9.76 saat untuk emas di Doha

DOHA: Christian Coleman menang pingat emas acara 100 meter di Kejohanan Dunia di sini pagi tadi sekali gus menepis kontroversi ke atasnya yang tiga kali mengelak ujian doping sehingga hampir menjejaskan kariernya.

Pelari pecut berusia 23 tahun Amerika Syarikat (AS) itu terselamat daripada hukuman gantung atas kesalahan mengelak ujian doping dan menang emas dengan merakam 9.76 saat sekali gus meraih kemenangan gelaran major pertamanya di kejohanan luar dewan.

Juara bertahan, Justin Gatlin, 37, menang perak dengan catatan 9.89 saat manakala jaguh pecut Kanada, Andre De Grasse menang gangsa dengan catatan 9.90 saat.

Coleman mempamerkan kekuatan apabila muncul atlet pertama merakam bawah 10 saat dalam saringan pada Jumaat dan di separuh akhir semalam.

Kejayaan dilakar Coleman di Stadium Khalifa itu sudah dijangka apabila pantas memecut meninggalkan lawan pada jarak 20 meter pertama.

Catatan itu juga menyaksikan jaguh pecut AS itu muncul lelaki keenam terpantas di dunia.

"Saya tidak mahu mendabik dada, saya datang ke sini untuk menang,” kata Coleman yang juga penyandang juara acara 60 meter dalam dewan.

"Ia adalah cacatan menakjubkan. Ia penting buat saya. Saya fikir banyak lagi yang perlu saya lakukan dan untuk terus meningkat. Saya rasa catatan itu boleh dibaiki lagi,” katanya.

Kemenangan itu meredakan perjalanan musim Coleman yang tidak menentu ketika dia hanya disahkan penyertaan ke Kejohanan Dunia tiga minggu lalu.

Coleman sebelum ini tegas menafikan mengambil dadah perangsang dan hampir dikenakan hukuman selepas tiga kali gagal menjalani ujian doping sejak 12 bulan lalu.

Kesalahan itu secara teknikalnya boleh disamakan dengan kegagalan ujian doping yang boleh dikenakan hukuman gantung selama dua tahun.

Coleman kali pertama mengelak ujian doping pada 6 Jun tahun lalu disusuli pada 16 Januari dan 26 April tahun ini.

Bagaimanapun, Agensi Anti Doping Amerika Syarikat (USADA) membatalkan dakwaan ke atasnya pada 2 September lalu selepas melakukan semakan dan pengiraan semula tempoh sebenar 12 bulan untuk atlet itu menjalani ujian doping.

Coleman yang mengkritik tindakan USADA ke atasnya sebelum ini mengulangi pendiriannya semalam.

"Saya tidak melakukan kesalahan. Saya hanya seorang lelaki kulit hitam yang ingin mencapai impian,” kata Coleman. – AFP

Berita Harian X