Sabtu, 28 September 2019 | 12:46pm
JUSTIN Gatlin

Gatlin akui janggal tanpa Bolt 

DOHA: Justin Gatlin mengakui ketiadaan bintang pecut Jamaica, Usain Bolt dalam Kejohanan Olahraga Dunia untuk acara 100 meter (m) buat pertama kali sejak 16 tahun agak janggal dan pelik baginya namun ia memberi ruang kepada muka baharu untuk menampilkan kehebatan masing-masing.

Bolt, yang memenangi lapan pingat emas Olimpik dan menjulang nama Jamaica pada era emas acara pecut bersara pada Kejohanan Dunia pada 2017.

“Agak pelik apabila dia tiada di sini,” kata Gatlin, juara bertahan Kejohanan Dunia yang memenangi pusingan pertama kelayakan dengan catatan masa 10.06s di Doha.

“Berada di balapan dan memaksa diri melakukan yang terbaik kerana ada seseorang yang menjadi pesaing supaya saya berikan yang terbaik.”

Gatlin berkata, pesaing hebat dalam acara pecut 100m adalah rakan senegara, Christian Coleman dan Zharnel Hughes dari Britain - menjadikan sukar untuk menjangkakan siapa yang mampu untuk memenangi pingat emas kali ini.

“Ia tidak seperti saya berada di lorong kelima dan perlu risau mengenai Usain di lorong keempat,” kata Gatlin.

“Kali ini saya perlu risau mengenai semua pelari lain di lorong sekitar saya. Itu antara perkara menarik mengenai acara balapan dan padang.”

Gatlin berkata, perkara di luar jangkaan dalam acara 100m yang membuatkan ramai tertarik untuk menyaksikan acara berkenaan.

Bagaimanapun, pakar pecut Kanada, Andre De Grasse, yang menamatkan saringan di tempat kedua di belakang Gatlin berkata, ketiadaan Bolt tidak menjejaskan pentas perlumbaan itu.

"Semua orang masih mampu memecut dan ia pasti sengit, jadi kita tidak boleh terlalu memikirkan ketiadaanya,” kata De Grasse. – Reuters

Berita Harian X