Jumaat, 20 September 2019 | 6:40am

Legenda kecewa olahraga negara 'lemau'

KUALA LUMPUR: Keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang sekadar menyasarkan lima pingat emas di Sukan SEA Filipina, November ini mengecewakan legenda olahraga negara, Nur Herman Majid.

 Menurut pemenang enam pingat emas dalam acara 110 meter (m) lari berpagar Sukan SEA itu, dia hairan mengapa sasaran yang diletakkan kurang berbanding pencapaian lapan emas yang diraih dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

 “Apakah sebenarnya berlaku dalam tempoh dua tahun selepas berakhirnya temasya itu? Sepatutnya pencapaian kita perlu meningkat dan bukannya menurun.

 “Jadi, kalau katakan hanya sasarkan lima saja, dengar pun amat mengecewakan. Dulu kalau olahraga kita mendominasi dalam Sukan SEA, bila dengar Malaysia negara lain akan goyang.

 "Tetapi sekarang kalau kata sasar lima saja, jadi ia amat mengecewakan," kata Nur Herman yang meraih enam pingat emas temasya dwitahunan itu sejak 1991, 1993, 1995, 1997, 1999 dan 2001 kepada BH Sukan ketika ditemui baru-baru ini.

 Baru-baru ini Presiden KOM Datuk SM Muthu menegaskan sasaran lima emas itu kekal biarpun skuad olahraga negara mampu menghadiahkan lebih daripada itu berdasarkan statistik yang ada.

 Lima emas itu disasarkan dalam acara baling tukul besi (Jackie Wong Siew Cheer), lompat tinggi (Nauraj Singh Randhawa & Lee Hup Wei), 110m lari berpagar (Rayzam Shah Wan Sofian), lompat kijang (Muhammad Hakimi Ismail) dan lontar peluru (Muhammad Ziyad Zolkefli).

 Menurut Nur Herman, dia  kecewa dengan prestasi atlet ketika ini kerana jika dahulu skuad olahraga negara antara yang digeruni di rantau Asia Tenggara malah menjadi antara penyumbang pingat paling banyak buat kontinjen Malaysia.

 "Memandangkan pengurusan tertinggi sudah bertukar, kita beri mereka peluang dulu. Seperti kata orang sebelum ini, jika pandang jauh ke depan, tak dapat apa yang kita mahukan, kita kena pandang balik ke belakang.

 "Kena cari punca dan buat bedah siasat, baiki secepat mungkin mengapa semakin kurang pingat dimenangi di Sukan SEA. Kalau dulu dengar saja olahraga, pasukan lawan 'goyang'. Jadi lebih baik lihat balik pada 10 atau 20 tahun  dulu, apa perlu dilakukan," kata Nur Herman.

 Nur Herman yang juga pemegang rekod kebangsaan selama 23 tahun acara 110 meter lari berpagar sebelum dipecahkan Rayzam Shah Wan Sofian pada 2017, turut mendakwa tidak pernah dipanggil KOM untuk membantu negara.

 "Saya sebenarnya amat kecewa apabila juara Sukan SEA tidak pernah dipanggil membantu negara. Cadangan saya, panggil saja mana-mana atlet yang sudah bersara dan serap mereka bersama pasukan negara, bermakna semangat itu masih ada.

 "Kadang kala tertanya kenapa orang tidak panggil kami. Saya tak pernah dipanggil untuk berkongsi apa-apa mengenai olahraga. Ada yang tanya mengapa tidak menjadi jurulatih, dan soalan saya semula, nak ajar siapa? Pernah panggil kami? Kalau di Thailand, bekas atlet yang menjaga atlet remaja mereka, minat dan pengalaman masih ada," katanya.

 Ketika diminta berkongsi pendapat, pemenang pingat gangsa Sukan Asia di Hiroshima, Jepun dengan catatan masa 13.73 saat itu berkata minat orang ramai terhadap olahraga perlu dipupuk dari segenap usia.

 "Zaki Sadri pernah sertai acara lompat jauh dan kijang dikelilingi orang ramai bersama atlet berkelas dunia. Mengapa tidak kita cuba tarik orang ramai untuk lihat atlet beraksi ... kalau susah, boleh panggil pelajar sekolah. Kejohanan dibuat di gelanggang tenis pun boleh, yang penting adalah penonton," katanya.

 Nur Herman yang kini berkhidmat selaku pegawai bank menegaskan kejohanan luar negara dan memiliki intensiti tinggi juga penting dalam pembentukan prestasi atlet ke tahap lebih tinggi.

 "Sebelum saya menang gangsa di Hiroshima, saya sertai 13 hingga 14 pertandingan di luar negara dan bertanding dengan atlet yang lebih pantas daripada saya.

 "Ketika itu saya berpusat di Eropah menjalani latihan tiga hingga empat bulan. Jika ketika ini mahu mengurangkan kos, jadi jangan tanya kenapa keputusan tidak memberangsangkan," kata Nur Herman yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol.

 Bekas putera lompat pagar yang juga juara Kejohanan Asia pada 1991 di Kuala Lumpur ini berpendapat, pihak berkepentingan juga perlu memainkan peranan agar dapat membawa masuk penaja bagi menganjurkan kejohanan olahraga di negara ini.

 Pengganti Allahyarham Ishtiaq Mubarak ini menyifatkan, disebabkan suasana pertandingan dan latihan adalah tidak sama buat atlet, bentuk penajaan itu boleh dibuat mengikut acara kegemaran bukannya untuk menganjurkan kesemua acara dalam olahraga.

Legenda olahraga negara, Nur Herman Majid. - NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X