Sabtu, 17 Ogos 2019 | 7:25pm
Atlet lompat bergalah kebangsaan, Iskandar Alwi menjuarai Kategori Lompat Bergalah Lelaki selepas melepasi ketinggian 5.15 meter pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan 2019 hari ini. - Foto BERNAMA

Iskandar salahkan tiada galah 'kesayangan'

KUALA LUMPUR: Hanya kerana ketiadaan galah 'kesayangan' membawa padah kepada atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi yang terlepas tiket kategori A ke Sukan SEA Filipina 2019.

Pada Kejohanan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini, atlet berusia 25 tahun itu gagal dalam tiga percubaannya memecahkan rekod kebangsaan pada ketinggian 5.32 meter (m).

Sebaliknya, Iskandar yang memegang rekod kebangsaan pada ketinggian 5.31m terpaksa akur dengan menamatkan cabaran pada ketinggian 5.15m untuk muncul juara.

"Galah yang biasa saya guna belum sampai dari Itali susulan masalah yang timbul sewaktu Kejohanan Universiti Dunia, bulan lalu.

"Jadi, saya terpaksa gunakan galah lain ketika ini, ia sedikit sebanyak menjejaskan persembahan saya pada hari ini. Galah itu berdepan masalah untuk dibawa pulang kerana tidak muat untuk dibawa masuk dalam kapal terbang," katanya.

Bagaimanapun, catatan terbaik musim ini 5.20m meletakkan Iskandar terus kekal sebagai atlet lompat bergalah keempat terbaik di rantau Asia Tenggara.

Dan dia yakin mampu menampilkan prestasi lebih baik sekiranya diberi peluang oleh KOM untuk ke temasya dwitahunan itu atas tiket kategori B.

"Kalau diberi peluang Insya-Allah saya boleh melakukan lebih baik. Untuk tahun ini, sebenarnya saya berdepan masalah kekurangan pertandingan, jadi sebab itu saya tidak tahu di mana untuk capai kemuncak prestasi," katanya.

460 dibaca
Berita Harian X