KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Haiqal Hanafi melengkapkan kemenangan berganda apabila menjuarai acara 200 meter (m) dengan memperbaiki catatan peribadi terbaiknya pada Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), hari ini.
Dia yang mewakili pasukan Johor mencatat kepantasan 21.20 saat (s) pada pentas final untuk memadamkan rekod lamanya, 21.26s yang dilakar pada saingan SUKMA Perak, tahun lalu.
Semalam, Haiqal turut memenangi pingat emas 100m selepas membakar trek dengan catatan masa 10.59s.
Kejayaan hari ini begitupun belum cukup untuk melayakkan Haiqal meraih tiket ke Sukan SEA Filipina 2019 selepas dia kekal sebagai pelari ketiga terpantas 200m negara di belakang Johnathan Nyepa dan Russel Alexander Nasir Taib.
Namun, kegembiraan jelas terpancar di wajah pelari berusia 20 tahun itu selepas kejayaan berkenaan mencerahkan peluangnya untuk disenaraikan semula dalam barisan kuartet 4x100m negara ke temasya dwitahunan itu.
"Saya sebenarnya tidak menjangkakan dapat memenangi (gelaran berganda) kerana sasaran saya kali ini hanya untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik.
"Alhamdulillah dapat melakukannya hari ini walaupun saya agak kurang berpuas hati dengan catatan 100m semalam," katanya.
Sebagai rekod, bagi acara 200m menyaksikan Russel terpantas ketika ini dengan catatan 20.77s di Queensland Trek Classic, Mac lalu manakala Johnathan 20.92s dalam satu pertandingan di Amerika Syarikat bulan yang sama.
Pada edisi Kuala Lumpur 2017, Haiqal turut beraksi sebagai pelari pertama untuk kuartet 4x100m negara selepas masuk menggantikan Khairul Hafiz Jantan yang menarik diri kerana masalah kecederaan.
Bagaimanapun, hasratnya untuk ke Filipina kini bergantung kepada keputusan yang akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan KOM, esok.
Seramai enam pelari pecut ketika ini sedang merebut empat tempat terbaik bagi acara 4x100m iaitu Johnathan, Khairul Hafiz, Nickson Kennedy, Zulfiqar Ismail, Russel dan Haiqal.
KEPUTUSAN KEJOHANAN KESATUAN OLAHRAGA MALAYSIA 2019
LELAKI
Lompat Galah:
EMAS: Iskandar Alwi (ATM) 5.15 meter (m)
PERAK: Muhammad Naufal Shahrul Afzam (JOH) 4.00m
GANGSA: Muhammad Zakariya Mansuri (WP KL) 4.00m
100M Lari Berpagar:
EMAS: Mohd Rizzua Haizad (SAR) 14.54s
PERAK: Benedictian Gawok (SAB) 14.73s
GANGSA: Muhd Naim Abdullah (PER) 14.78s
200m
EMAS: Muhammad Haiqal Hanafi (JOH) 21.20s
PERAK: Mohd Aqil Yasmin (ATM) 21.49s
GANGSA: Aravinn Thevarr Gunasegaran (ATM) 21.56s
WANITA
10,000m Jalan Kaki
EMAS: Elene Goh Ling Yin (ATM) 53:09.44
PERAK: Koong Jia Lin (PAH) 56:25.50
GANGSA: Pua Ling En (JOH) 58:19.35
Lompat Jauh
EMAS: Noor Shahidatun Nadia Zuki (ATM) 5.84 meter (m)
PERAK: Siti Zubaidah Adabi (JOH) 5.74 m
GANGSA: Mahira Hanis Ishak (JOH) 5.73m
Lontar Peluru:
EMAS: Bibraisyah Ishak (ATM) 12.75 meter (m)
PERAK: Nani Sahirah Maryata (PAH) 12.60m
GANGSA: Nurull Ainin Syaqina (PAH) 11.76m
110m Lari Berpagar
EMAS: Raja Nursheena Raja Azhar (ATM) 14.93s
PERAK: Nur Syafiqah Anis Abu Bakar (ATM) 15.11s
GANGSA: Eng May Xin Winnie (WP KL) 15.26s
200m
EMAS: Nurul Faizah Asma Mazlan (ATM) 25.29s
PERAK: Komalam Shally Selvaretnam (ATM) 25.34s
GANGSA: Siti Fatimah Mohammad (ATM) 25.42s