Khamis, 15 Ogos 2019 | 1:57pm
ATLET wanita Afrika Selatan, Caster Semenya. - Foto AFP
ATLET wanita Afrika Selatan, Caster Semenya. - Foto AFP

Semenya bidas perubahan peraturan hormon IAAF

JOHANNESBURG: Pemenang dua pingat emas acara 800 meter Olimpik, Caster Semenya membidas perubahan peraturan badan dunia olahraga yang menghalangnya daripada mempertahankan gelaran di Kejohanan Dunia di Doha, bulan depan.

Atlet wanita Afrika Selatan berusia 28 tahun itu kini sedang terbabit dalam pertikaian dengan Kesatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) berhubung pindaan peraturan paras hormon testosterone atlet wanita.

Bulan lalu, mahkamah Switzerland membatalkan tempoh larangan sementara berkenaan pindaan peraturan paras hormon testosterone atlet wanita yang bakal menghalang Semenya mengambil bahagian acara larian jarak sederhana antara 400 meter dan 800 meter seperti yang disertainya pada Jun dan Julai lalu.

Bercakap dalam satu persidangan mengenai kesamarataan hak wanita di Johannesburg, Semenya menyatakan keyakinan bahawa perubahan peraturan itu berkait rapat dengan keupayaanya dalam acara itu yang tidak boleh dicabar oleh atlet lain ketika ini.

"Saya menjadi sasaran kerana tidak boleh dikalahkan...saya lakukan catatan terbaik.”

"Apabila kamu menjadi atlet terbaik dunia, maka orang ramai akan tertarik dengan apa yang anda lakukan.”

"Mungkin dalam hal ini saya ‘bermasalah’ kerana saya terlalu kerap menang, jadi mereka perlu hentikan saya,” katanya.

Semenya dibesarkan sebagai wanita, berlumba dalam kategori wanita dan secara undang-undangnya juga dia diklasifikasikan sebagai wanita.

Namun IAAF mempertikaikan jantina sebenar Semenya kerana bentuk tubuh sasanya akibat perbezaan pertumbuhan jantina (DSD) sekali gus mencetuskan ketidakadilan untuk atlet wanita lain.

Mulai tahun ini, IAAF memperkenalkan peraturan baharu yang menghendaki atlet wanita yang memiliki paras hormon lelaki yang lebih atau dirujuk sebagai atlet ‘hyperandrogenic’ perlu mengurangkan paras hormon testosterone sebagai syarat membolehkan mereka mengambil bahagian dalam acara tertentu.

Namun perubahan peraturan itu mendapat tentangan hebat pegawai olahraga Afrika Selatan.

Dalam pada itu, Semenya enggan mengulas mengenai isu perundangan yang dihadapinya kerana mahu memberi fokus sepenuhnya kepada acara kegemarannya itu.

"Tidak banyak yang boleh saya katakan, saya cuma utamakan acara kegemaran saya saja ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Perubatan Dunia menggesa doktor supaya tidak menguatkuasakan peraturan baru IAAF itu sambil memberi amaran bahawa ia akan dianggap tidak beretika jika dilaksanakan. – AFP

Berita Harian X