Ahad, 5 Mei 2019 | 8:41pm
Muhammad Azeem Mohd Fahmi.
Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

AS destinasi terbaik buat Azeem

KUALA LUMPUR: Sekiranya ada pihak berhasrat menghantar Muhammad Azeem Mohd Fahmi berlatih di luar negara dan atlet pecut muda itu berpeluang membuat pilihan, Amerika Syarikat (AS) adalah destinasi paling tepat.

Bekas atlet dan jurulatih olahraga kebangsaan, Azmi Ibrahim berkata ia disebabkan negara itu memiliki teknologi yang lebih maju selain menawarkan banyak persaingan buat Azeem.

“Pada pendapat saya, AS adalah tempat terbaik kerana negara itu maju dari sudut teknologi serta latihan.

“Jika lingkungan umur seperti Azeem (15 tahun), ramai yang dapat mencipta catatan masa yang pantas di sana, berbanding di Malaysia,” kata Azmi yang pernah menyertai kejohanan bertaraf tinggi antaranya adalah Kejohanan Olahraga Dunia di Sweden pada 1995 dan Sukan Asia Busan, Korea Selatan (2002), ketika dihubungi.

“Azeem tak perlu risau akan pertandingan, banyak yang boleh disertai sampaikan dia sendiri tak tahu mahu pilih yang mana satu.

Azmi yang turut pernah menyertai Sukan Komanwel Victoria (1994), Sukan Komanwel Kuala Lumpur (1998) dan memenangi pingat beberapa temasya Sukan SEA menjelaskan, di AS, banyak perkara boleh dipelajari Azeem termasuk dari sudut mentaliti dan corak pemakanan.

Namun tegasnya, latihan di luar negara perlulah untuk proses jangka masa panjang bagi menghasilkan perkembangan positif selain menyesuaikan atlet dengan latihan berintensiti tinggi.

“Dulu pada tahun 1995, sewaktu berusia 18 tahun, saya hampir setahun berada di AS malah banyak ilmu saya dapat.

“Apabila balik saja ke Malaysia, saya berjaya mencatatkan 10.38s dalam Kejohanan Olahraga Asia di Jakarta pada 1995 dan menyamai rekod kebangsaan acara 100 meter (m) milik Watson Nyambek.

Bagaimanapun Azmi berkata, jika tidak ke AS, adalah lebih baik Azeem kekal di Perak kerana mungkin dia sudah selesa dengan jurulatih dan suasana di tempat sendiri.

“Bukan tak bagus bertukar jurulatih tapi mungkin guru Azeem ada resipi yang berguna untuk membentuknya menjadi lebih baik. Kita perlu percaya kepada jurulatih.

“Pada saya Azeem belum matang dan saya risau akan jadi masalah kalau tukar jurulatih. Persatuan juga boleh bantu jurulatih, program latihan dan peralatan,” kata Azmi yang kini bertindak selaku jurulatih fizikal pasukan bola sepak Liga Super Kedah.

Terdahulu BH Sukan melaporkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan Azeem latihan di luar negara, dibawa ke Bukit Jalil sambil diberikan segala kemudahan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) atau pun kekal berlatih di Perak dengan segala bantuan akan disalurkan mengikut citarasanya tersendiri.

Berita Harian X