Selasa, 18 September 2018 | 8:10pm
REAKSI Muhammad Ilham Suhaimi selepas muncul juara acara 400m pada SUKMA 2018 di Stadium Perak, hari ini. - Foto BERNAMA
REAKSI Muhammad Ilham Suhaimi selepas muncul juara acara 400m pada SUKMA 2018 di Stadium Perak, hari ini. - Foto BERNAMA

Panjang lebur rekod 16 tahun

IPOH: Lapangan olahraga terus mencuri tumpuan pada hari kedua acara itu dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Stadium Perak.

Sebanyak tiga rekod baharu berjaya dicipta hari ini dan paling mencuri tumpuan adalah aksi Muhammad Ilham Suhaimi atau lebih mesra dipanggil Panjang apabila meleburkan rekod berusia 16 tahun dalam acara 400 meter. 

Pelari kelahiran Selangor itu melintasi garisan penamat dengan masa 47.02 saat (s) sekali gus meleburkan rekod 47.34s milik Muhd Zaiful Zainal Abidin yang dilakukannya di SUKMA Sabah 2002.

Ilham yang turut menyerlah pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN dengan menyumbangkan tiga emas Julai lalu berkata, rekod baharu dengan catatan 47.02s itu dianggap satu bonus dan di luar dugaan. 

"Memang saya tak jangka dapat melakukan catatan itu. Saya cuma sasar untuk memperbaharui catatan terbaik peribadi iaitu 47.33s yang dilakukan di Terbuka Singapura April lalu.

"Terima kasih kepada rakan lain kerana memberi saingan yang membolehkan saya berlari lebih laju lagi," katanya yang berasal dari Ampang, Selangor. 

Bagaimanapun, tugas Ilham pada temasya kali ini masih belum selesai kerana masih lagi mempunyai dua acara iaitu 4x100m dan 4x400m. 

Justeru, atlet yang berlatih di bawah bimbingan Mohd Poad Md Kassim mengharapkan kejayaannya itu dapat membakar semangatnya untuk terus memburu emas. 

Mengulas mengenai sasarannya selepas ini, Ilham berharap dapat memecahkan rekod kebangsaan yang juga milik Zaiful, 46.41s.

Berita Harian X