Rabu, 8 Ogos 2018 | 8:02pm
GAMBAR fail, Ketua Jurulatih Olahraga Baharu, Zainal Abas. - Foto Hasriyasyah Sabudin
GAMBAR fail, Ketua Jurulatih Olahraga Baharu, Zainal Abas. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Tiga atlet olahraga perlu buktikan kemampuan - Zainal

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas mencabar ketiga-tiga atlet yang berjaya disenaraikan ke dalam kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang pada saat akhir supaya membuktikan kemampuan masing-masing.

“Bagi pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), kami pastinya gembira dengan penyenaraian tiga atlet ini oleh penganjur.

“Namun sekarang adalah masanya bagi mereka untuk membuktikan bahawa mereka berhak dimasukkan ke dalam kontinjen pada temasya itu,” katanya kepada NSTP.

Pada Mesyuarat Pendaftaran Delegasi (DRM) di Jakarta semalam, penganjur bersetuju menyenaraikan atlet baling tukul besi, Jackie Wong, Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar) dan Iskandar Alwi (lompat bergalah) untuk menyertai kontinjen Malaysia.

Penyertaan tiga atlet itu yang diletakkan di bawah Kategori B menjadikan keseluruhan lapan atlet olahraga diberi peluang mewakili negara dalam kategori berkenaan manakala tujuh lagi atlet di bawah Kategori A.

Jumlah 15 atlet pada temasya itu menjadikan penyertaan skuad olahraga kali ini adalah yang teramai sejak edisi 1966 di Bangkok.

Kali terakhir olahraga membawa pulang pingat adalah di Doha 2006 menerusi atlet lompat bergalah, Roslinda Samsu (perak) dan Noraseela Khalid (gangsa) dalam acara 400 meter lari berpagar.

Sukan olahraga negara sebelum ini mengalami kemerosotan sehinggalah sinar baru kebangkitan dapat dirasai apabila melakar persembahan terbaik dengan lapan emas, lima perak dan sembilan gangsa ketika Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Berita Harian X