Selasa, 5 Jun 2018 | 10:48pm
MUHAMMAD IRFAN SAMSUDDIN

Sukan Asia: Irfan sandaran olahraga raih pingat

KUALA LUMPUR: Atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Samsuddin menjadi harapan utama Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menyumbang pingat pada Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Zainal Abas berkata pemegang rekod kebangsaan itu berpotensi menyumbang pingat berdasarkan prestasi cemerlang selepas memperbaharui rekod peribadi miliknya pada beberapa kejohanan disertai tahun ini.

Selain itu, katanya, anak jati Seremban itu berada pada ranking ketiga benua Asia di hadapan dua atlet Iran.

"Kalau harapan pingat saya lihat pada Muhammad Irfan... itupun sekiranya beliau tidak mengulangi kesilapan sama ketika beraksi pada Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu di mana lemparan beliau dibatalkan.

"Beliau kini berada di Eropah untuk sesi latihan dan pertandingan di sana. Dan kalau kita lihat dua ke tiga tahun kebelakangan ini, beliau berjaya memperbaiki rekod kebangsaan," kata.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan senarai nama atlet kepada Jawatankuasa Pemilihan Sukan Asia di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zainal berkata tujuh atlet diletakkan dalam kategori A (perbelanjaan ditanggung sepenuhnya) manakala selebihnya dalam kategori B iaitu pihak persatuan perlu mendahulukan wang mereka dan akan dibayar balik sekiranya atlet berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Tujuh atlet berkenaan adalah Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei (lompat tinggi), Muhammad Irfan, Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Zaidatul Husniah Zulkifli (pecut wanita), Luqman Hakim Ramlan (lompat jauh lelaki) dan Norliyana Kamaruddin (heptathlon wanita).

Atlet dalam kategori B adalah raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Rayzam Shah Wan Sofian (110m lelaki) serta kuartet 4x100m lelaki; Iskandar Alwi dan Chuah Yu Tian (lompat bergalah) serta Jacky Wong Siew Cheer (baling tukul besi lelaki).

Pada masa sama, Zainal tidak menolak kemungkinan perubahan dalam kuartet 4x100m lelaki pada Sukan Asia selepas aksi menonjol ditampilkan dua pelari muda, Muhammad Haiqal Hanafi dan Zulfiqar Ismail dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

"Kita ada empat nama dari Sukan Komanwel Gold Coast 2018 iaitu Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Khairul Hafiz, tetapi kita melihat prestasi semasa atlet seperti Muhammad Haiqal dan Zulfiqar yang turut menampilkan catatan masa agak baik," kata Zainal. - BERNAMA

Berita Harian X