Isnin, 9 April 2018 | 9:17pm
SIMBINE (kiri) dinobat raja pecut Sukan Komanwel selepas mengatasi Bruintjies dan Blake. -Foto Reuters
SIMBINE (kiri) dinobat raja pecut Sukan Komanwel selepas mengatasi Bruintjies dan Blake. -Foto Reuters

Simbine Raja Pecut Sukan Komanwel

GOLD COAST: Akani Simbine dinobatkan selaku Raja Pecut Sukan Komanwel 2018 selepas mengetepikan bintang pilihan dari Jamaica, Yohan Blake dalam aksi final 100 meter (m) di Stadium Carrara, sebentar tadi.

Blake, yang menjadi pilihan berikutan ketiadaan pelari yang sudah bersara Usain Bolt, membuat permulaan perlahan apabila melakukan kesilapan ketika di blok.

Ia dimanfaatkan sebaik mungkin Simbine dari Afrika Selatan untuk menyambar pingat emas dengan catatan masa 10.03 saat (s) untuk mengatasi rakan senegaranya, Henricho Bruintjies di tempat kedua dengan 10.17s.

Blake pula sekadar berpuas hati dengan gangsa selepas hanya mencatat 10.19s, biarpun muncul sebagai pelari terpantas pada saingan separuh akhir menerusi catatan masa 10.06s.

"Saya tersilap di permulaan. Saya tewas sejak dari awal lagi," kata Blake kepada BBC. "Ia sepatutnya menjadi cara yang baik untuk kembali ke kemuncak. Ia amat mengecewakan saya."

Sementara itu, Michelle-Lee Ahye membuktikan mengapa dia menjadi pilihan 100m wanita apabila mendominasi pentas final dengan rentak larian sempurna.

Ahye memastikan Trinidad & Tobago memenangi emas pertama dalam acara riben biru wanita dengan melakar kepantasan 11.14s untuk mengatasi dua pelari Jamaica, Christania Williams (11.21) dan Gayon Evans (11.22). - AGENSI

Berita Harian X