Jumaat, 6 April 2018 | 8:31pm
ATLET olahraga negara, Khairul Hafiz Jantan sedia gugat barisan pelari pecut dunia pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018.- Foto Mohd Fadli Hamzah
ATLET olahraga negara, Khairul Hafiz Jantan sedia gugat barisan pelari pecut dunia pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018.- Foto Mohd Fadli Hamzah

Peluang Khairul Hafiz perbaharui rekod

GOLD COAST, Australia: Sama ada jagoan pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan mampu menggugat barisan pelari pecut dunia pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 bukan persoalan yang wajar ditimbulkan.

Apa yang mahu disaksikan peminat sukan olahraga tanah air adalah atlet bergelar 'The Speedy Jantan' itu mampu memberikan saingan, khususnya dalam misi memecah rekod kebangsaan yang dilakukannya sendiri.

Pengurus pasukan olahraga yang juga ketua jurulatih Zainal Abas mahu melihat sejauh mana atlet itu mampu pergi selepas sembilan saringan acara 100m lelaki diadakan.

"Hanya selepas itu barulah kita mengetahui sama ada dia layak ke separuh akhir dan akhir," katanya.

"Menerusi catatan 10.34s yang dilakukannya tiga minggu lalu, tidak mustahil untuk Khairul cuba memecahkan rekod kebangsaan."

Catatan 10.34s itu menyamai pencapaiannya pada Sukan SEA 2017 yang menyaksikan dia muncul pelari terpantas Asia Tenggara.

Ketika temasya di Glasgow 2014, pingat emas acara 100m menjadi milik Kemar Bailey-Cole dari Jamaica dengan catatan 10.00s diikuti Adam Gemili dari England (10.10s) dan Nickel Ashmeade dari Jamaica (10.12s).

Berita Harian X