Ahad, 17 Disember 2017 | 1:56pm
BEKAS Raja Pecut Asean, Nazmizan Muhammad (kanan) luah pandangan perlu ada komunikasi antara KOM dan Mohd Poad Md Kassim berhubung isu pengguguran raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan pada Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England. - Foto fail
BEKAS Raja Pecut Asean, Nazmizan Muhammad (kanan) luah pandangan perlu ada komunikasi antara KOM dan Mohd Poad Md Kassim berhubung isu pengguguran raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan pada Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England. - Foto fail

KOM, Poad perlu bincang nasib Khairul

KUALA TERENGGANU: Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad meluahkan pandangannya bahawa perlu ada komunikasi dua hala di antara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan jurulatih, Mohd Poad Md Kassim berhubung isu pengguguran raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan pada Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England.

Sambil melahirkan rasa terkejut bekas pemenang pingat emas Sukan SEA di Vietnam 2003 dalam acara 100 dan 200 meter (m) itu menyatakan perlu ada surat hitam putih berhubung perkara itu sebelum keputusan akhir dibuat.

"Kita mahu lihat pelari yang digelar The Speedy Jantan itu bukan saja menjadi manusia terpantas di Asia Tenggara dalam acara 100 m tapi turut menyinar di pentas antarabangsa seperti dalam kejohanan dunia itu.

"Tapi jika pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100 dan 200 m digugurkan daripada beraksi di kejohanan dunia di England itu, ia boleh disifatkan satu kerugian yang cukup besar dalam sukan olahraga bukan saja kepada atlet dari Melaka itu sendiri malah juga kepada negara.

"Hal ini kerana atlet berusia 19 tahun itu sudah membuktikan dirinya manusia terpantas di Malaysia dengan melebur dua rekod terdahulu dalam acara 100 dan 200 m," kata pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu.

Kelmarin akhbar melaporkan Khairul Hafiz kecewa dan bingung apabila namanya digugurkan dalam kejohanan dunia itu yang dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 4 Mac depan di Birmingham, England.

Pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak 2016, Khairul Hafiz berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 10.18 saat (s) dalam acara 100m sekali gus memadam rekod lama 10.30 s milik Watson Nyambek yang dilakukan pada pra Sukan Komanwel 1998.

Selain itu Khairul Hafiz juga berjaya melebur rekod lama kebangsaan 20.92s berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan yang dilakar dalam Sukan Olimpik Mexico 1968 dalam acara 200m.

Sewaktu Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Khairul Hafiz melakar sejarah apabila melakukan catatan 20.90 s.

Mengulas lanjut, Nazmizan turut mengakui isu berkenaan sedikit sebanyak mampu mematah semangat atlet berkenaan untuk melangkah lebih jauh kerana ia membabitkan soal mental dan fizikal.

"Selain itu persiapan atlet berkenaan untuk melakar catatan bawah 10s dalam acara 100 m mungkin terjejas jika KOM tetap dengan pendiriannya untuk menggugurkan atlet berpotensi besar dalam sukan larian itu.

"Justeru sebagai bekas atlet saya mengharapkan ada jalan penyelesaian terbaik antara KOM, jurulatih Mohd Poad dan Khairul Hafiz kerana ini adalah peluang terbaik buat pemegang rekod kebangsaan itu meningkatkan diri dengan catatan yang lebih baik," kata anak kelahiran Durian Mentangau, Terengganu itu.

Berita Harian X