Rabu, 13 Disember 2017 | 11:33pm
JAGUH lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail akan mewakili negara pada Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England pada 1 hingga 4 Mac ini.- Foto Osman Adnan

Hakimi ganti Khairul Hafiz ke Birmingham

khairie@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail akan mewakili negara pada Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England pada 1 hingga 4 Mac ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM, Datuk Karim Ibrahim mengesahkan perkembangan itu ketika ditemui pada sidang media di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Karim yang juga Ahli Majlis Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) berkata keputusan menghantar Muhammad Hakimi dibuat selepas pelari pecut, Khairul Hafiz Jantan memilih menyertai pra Sukan Asia, Jakarta pada Februari.

Had kelayakan ditetapkan IAAF untuk layak automatik ke kejohanan itu bagi acara lompat kijang adalah 17.05m.

Bagaimanapun Karim berkata penyertaan Muhammad Hakimi melalui tiket wildcard itu akan terbatal sekiranya terdapat atlet Malaysia yang layak secara merit ke kejohanan itu sebelum tarikh tutup yang dijadual pada 19 Februari ini.

"Untuk masa ini, Hakimi akan bertanding melalui tiket wildcard. Namun jika ada atlet yang layak secara merit, dia (Hakimi) akan digugurkan," katanya.

Hakimi sebelum ini memecahkan rekod Sukan SEA dan kebangsaan dengan catatan 16.77 meter untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu selain turut disenaraikan dalam Program Podium.

Dalam pada itu, Karim menjelaskan ketiadaan Khairul Hafiz sedikit memberi kesan kerana acara pecut seharusnya bermula dari peringkat awal secara berperingkat termasuklah larian 60 meter (m) di dalam dewan.

Namun, katanya, penyertaan Khairul Hafiz ke pra Sukan Asia adalah sesuatu yang bagus dan dia tidak ingin mengganggu tumpuan pelari itu.

"Pada peringkat awal jurulatih beliau memaklumkan ingin menghantar Khairul Hafiz mengambil bahagian pada Kejohanan Dalam Dewan namun sehingga 1 Disember (tarikh tutup pendaftaran), dia tidak memberikan kata putus.

"Tapi kita sudah memaklumkan kepadanya," katanya.

Dalam pada itu, Karim berkata, pihaknya menyenaraikan beberapa atlet negara menyertai Kejohanan Olahraga Asia Dalam Dewan 2018 di Tehran, Iran bermula 1 Februari.

Katanya, ia bagi memberi peluang kepada atlet negara cuba melayakkan diri secara merit ke Birmingham, tahun depan.

Berita Harian X