Sabtu, 26 Ogos 2017 | 5:16pm
RAYZAM Shah Wan Sofian raikan kejayaan raih pingat emas acara 110m lari berpagar bersama penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto Yazit Razali
RAYZAM Shah Wan Sofian raikan kejayaan raih pingat emas acara 110m lari berpagar bersama penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto Yazit Razali

KL2017: Rayzam Shah emas, Raja Nursheena perak lari berpagar

KUALA LUMPUR: Rayzam Shah Wan Sofian menepati ramalan apabila memenangi pingat emas acara 110m lari berpagar dengan catatan 13.83s di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kejayaan itu membolehkan atlet Sabah itu mengulangi kejayaannya 10 tahun lalu apabila turut memenangi emas di Sukan SEA Thailand 2007, dengan catatan 13.92s - pada usia hanya 18 tahun ketika itu.

GAYA Rayzam Shah Wan Sofian selepas meraih pingat emas acara 110m lari berpagar dengan catatan 13.83s di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto Yazit Razali
GAYA Rayzam Shah Wan Sofian selepas meraih pingat emas acara 110m lari berpagar dengan catatan 13.83s di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto Yazit Razali

Kepantasan dicipta Rayzam itu membolehkan dia menewaskan juara edisi lalu, Jamras Rittidet dari Thailand di tempat kedua (14.10s) sementara gangsa milik atlet Filipina, Clinton Kingsley B (14.15s).

Meskipun catatan 13.83s itu tidak mengatasi rekod kebangsaan miliknya, 13.67s yang dilakar di Jerman, Mei lalu, ia cukup manis buat Rayzam Shah kerana dia melonjakkan dirinya ke tahap lebih baik apabila sekadar memenangi perak (13.97s) di Singapura 2015.

Sementara itu, kem olahraga negara turut ceria apabila Raja Nursheena Raja Azhar melakar kejutan dengan memenangi pingat perak acara 100m lari berpagar dengan kepantasan 13.92s, sementara emas milik Tran Thi Yen Hoa dari Vietnam yang merakam 13.40s, , manakala gangsa milik Singapura menerusi Nur Izlyn Zaini (14.14s).

Berita Harian X