Jumaat, 11 Ogos 2017 | 3:53pm
MUHAMMAD Haikal Hanafi (kiri) bersama Badrul Hisyam Abdul Manap pada Kejohanan Olahraga Pra Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Stadium Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir
MUHAMMAD Haikal Hanafi (kiri) bersama Badrul Hisyam Abdul Manap pada Kejohanan Olahraga Pra Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Stadium Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

Haikal terus berjuang untuk wakili negara

KUALA LUMPUR: Atlet 100 meter negara, Haikal Hanafi rela menggandakan usaha untuk memastikan satu slot mewakili kuartet 4x100 meter ke Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) menjadi miliknya.

Kuartet 4x100m lelaki menyaksikan satu slot lagi perlu diisi membabitkan Haikal dan Nixson Kennedy untuk digandingkan bersama Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Badrul Hisyam Abdul Manap.

Rabu lalu satu ujian masa dilakukan bersama pasukan Institut Sukan Negara (ISN) bagi menilai tahap prestasi kedua-dua atlet terbabit.

Namun bagi Haikal, selagi jurulatih tidak memaklumkan siapa yang akan mengalas tugas selaku pelari pertama, maka dia tidak akan berputus asa.

"Saya akan terus fokus dan serius dalam latihan. Perebutan antara saya dan Nixson sangat sengit dan hanya Allah akan tentukan siapa yang akan berlari dalam acara itu," katanya.

Namun pelari berasal dari Melaka itu tetap positif, andai tiada rezekinya untuk beraksi di temasya dwi tahunan itu mungkin peluangnya akan terbuka untuk temasya Sukan Asia atau Komanwel tahun depan.

Aksi Haikal semakin menyerlah apabila dia meraih pingat perak dengan catatan 10.55 saat ketika di Kejohanan Terbuka Malaysia.

Namanya mula menjadi sebutan apabila dia antara pelari yang memecahkan rekod kebangsaan 4x100m ketika di Terbuka Vietnam dengan catatan 39.62 saat bulan lalu.

Memiliki catatan terbaik peribadi 10.48s yang dilakukan di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, Haikal dilihat mempunyai bakat untuk terus menyerlah dalam acara itu.

Berita Harian X