Khamis, 10 Ogos 2017 | 7:55am
PELARI Amerika Syarikat, Phyllis Francis (tengah) mendahului pelari lain untuk memenangi acara 400 meter. - Foto EPA

Francis lakar kejutan ungguli 400 meter

LONDON: Pelari Amerika Syarikat, Phyllis Francis menang mengejut pingat emas acara 400 meter Kejohanan Dunia, awal pagi tadi ketika juara Olimpik, Shaunae Miller-Uibo secara tiba-tiba berdepan masalah dalam aksi final mendebarkan.

Francis tampak tidak akan meraih pingat berbaki 80 meter tetapi mengekalkan prestasinya untuk melakukan catatan peribadi terbaik 49.92 saat dan meraih emas mengejutkan dengan dia melepasi garisan penamat tanpa menyedari sudah menang.

Pelari Bahrain, Salwa Eid Naser, 19, meraih perak dengan catatan 50.06s, rekod kebangsaan ketiga dilakukannya minggu ini ketika juara bertahan Allyson Felix dari Amerika Syarikat, sekadar gangsa dengan 50.08s.

Miller-Uibo, yang terkenal apabila menjatuhkan badan di garisan penamat untuk mengatasi Felix bagi emas Sukan Olimpik Rio tahun lalu, jauh di depan berbaki 20 meter tetapi ketika dia semakin penat, pelari Bahamas itu tersadung kakinya sendiri sebelum pencabar lain melepasinya.

Ia adalah penamat menakjubkan dalam perlumbaan yang tampak akan memuncak dalam 300 meter pertama. Felix berlari dengan lancar walaupun trek basah dan mengatasi Francis yang berada di garisan luar pada penghujung selekoh pertama.

"Saya sangat teruja. Ia perasan yang amat menakjubkan, menjadi juara dunia tampak sangat hebat," kata Francis, yang berkedudukan kelima di final Olimpik Rio tetapi meraih emas dalam acara 4x400m berganti-ganti.

"Kemenangan ini tidak memberi kesan lagi kepada saya, tetapi saya rasa ia akan berlaku esok apabila saya terjaga." - Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X