Ahad, 30 Julai 2017 | 10:20am
BADRUL Hisyam Abdul Manap
BADRUL Hisyam Abdul Manap

KL2017: Badrul mahu 'malukan' kuartet Thailand

SEPANG: Pelari sensasi negara, Badrul Hisyam Abdul Manap melaungkan amaran betapa dia ingin 'memalukan' kuartet Thailand di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos ini.

Badrul Hisyam berkata, dia tidak mengambil peduli akan sikap kuasa besar olahraga itu Asia Tenggara itu yang ketika ini dilihat menyimpan taring sebenar sebelum temasya dwitahunan itu bermula.

Bagaimanapun, di sebalik keinginan tinggi itu, pelari muda dari Melaka itu berkata, dia dan rakan sepasukan tidak menjanjikan sebarang warna pingat dalam acara tumpuan 4x100 meter (m).

"Syukur Alhamdulillah kami dapat memecahkan rekod acara 4x100m di Vietnam dan saya berharap dapat memberikan yang terbaik untuk Sukan SEA nanti.

"Kami akan buktikan kepada semua peminat apatah lagi Malaysia menjadi tuan rumah nanti. Tapi kami tidak janjikan warna pingat sama ada emas, perak ataupun gangsa kerana misi kami adalah lakukan yang terbaik.

"Walaupun Thailand ketika ini jarang menyertai kejohanan, mungkin kerana tumpuan pada Sukan SEA, namun kami akan buktikan mampu kalahkan musuh tradisi di tempat sendiri, Insya-Allah, " katanya ketika ditemui di KLIA sejurus tiba dari Vietnam, semalam.

Mengulas mengenai Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam 2017, Badrul Hisyam berkata semangat berpasukan semakin mantap penambahbaikan masih perlu dilakukan ketika pertukaran baton.

Katanya, baki masa yang tinggal sebelum KL2017 membuka tirai akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan perjalanan acara berpasukan itu berjalan lancar.

Pada Khamis lalu kuartet 4x100m gandingan Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz Jantan mencipta rekod kebangsaan baharu di Terbuka Vietnam dengan catatan 39.62s untuk meraih pingat emas.

Ia sekali gus meleburkan rekod lama milik rangkaian Jonathan, Mohd Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy di Sukan SEA Singapura 2015 (39.67s).

Berita Harian X