Khamis, 27 Julai 2017 | 10:33pm

Kuartet 4x100m lelaki pecah rekod kebangsaan di Vietnam

KUALA LUMPUR: Pelari 4x100 meter (m) lelaki negara melakar kejutan apabila memperbaharui rekod kebangsaan acara itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam 2017 yang berlangsung di Ho Chi Minh, sebentar tadi.

Kuartet lelaki yang dibarisi Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan melakar rekod baharu dengan kepantasan 39.62s.

(DARI kiri) Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi. - Foto ihsan Jad Adrian Washif (ISN)
(DARI kiri) Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi. - Foto ihsan Jad Adrian Washif (ISN)

Catatan itu membolehkan mereka meraih pingat emas. Perkembangan positif itu dimaklumkan oleh ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas.

Rekod lama acara ini milik gandingan Jonathan, Mohd Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy dengan catatan 39.67s dicipta pada 12 Jun 2015 di Sukan SEA Singapura.

Kejayaan di Vietnam memberi petanda positif buat pasukan olahraga negara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan berlangsung bulan depan.

Pada temasya dwitahunan di Singapura, kuartet Thailand meraih pingat emas dengan kepantasan 38.99s, Singapura selaku pemenang perak (39.24s) sementara gangsa dibawa pulang Indonesia (39.32s).

Berita Harian X