Rabu, 25 Januari 2023 | 8:19pm
Gambar fail - Shahrol Yuzy Ahmad Zain (kiri) bersama anaknya, Shahrol Syazras.
Gambar fail - Shahrol Yuzy Ahmad Zain (kiri) bersama anaknya, Shahrol Syazras.

Pengalaman di ARRC bakar semangat Shahrol Syazras

KUALA LUMPUR: Anak kepada legenda sukan permotoran dua roda, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini iaitu Shahrol Syazras menjadikan tiket beraksi di Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang musim lalu sebagai pembakar semangat utamanya.

Shahrol Syazras yang bakal beraksi secara musim penuh dalam kelas Underbone 150cc di Asia tahun ini berkata, pada ketika itu dia berjaya meraih petak utama untuk perlumbaan - sesuatu yang pertama kali dalam kariernya.

Namun begitu, pelumba pasukan Honda Yuzy Estremo Team itu tidak menamatkan kedua-dua perlumbaan di Sepang dan baginya, masa sudah tiba untuk dia kembali mempersembahkan tunggangan terbaik kali ini.

"Persiapan saya seperti biasa, sama seperti (untuk) Kejuaraan Cub Prix (Malaysia). Apabila saya dapat tahu akan beraksi di pentas Asia tahun ini, saya rasa gembira," kata Shahrol Syazras yang turut bakal beraksi di Kejuaraan Cub Prix musim ini.

"Tahun lalu saya berpeluang beraksi di atas tiket wild card di Sepang. Di sana ada keputusan yang baik, meraih petak utama... bermula dari petak utama pertama dalam diri saya dan itu akan menjadi motivasi di Asia nanti.

"Begitupun, saya tidak mahu meletak sasaran yang tinggi... cuba untuk mengumpul mata dan melakukan yang terbaik."

Dalam saingan Cub Prix, Shahrol Syazras menamatkan kempen 2022 dengan mengumpul 26 mata untuk berada di kedudukan ke-15 keseluruhan.

Pencapaian terbaiknya adalah menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh pada Pusingan 1 di Litar Antarabangsa Sepang (Utara), Mac tahun lalu.

Kalendar ARRC 2023 dijadual membuka tirainya di Litar Antarabangsa Buriram Thailand dari 24 hingga 26 Mac ini manakala Kejuaraan Cub Prix Malaysia bermula di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) dari 25 hingga 26 Februari ini.

"Untuk musim ini, saya nak mulakan dengan permulaan yang positif. Saya nak cuba mencari podium dan memenangi perlumbaan. Selain itu, saya mahu memberikan 100 peratus tumpuan kepada Cub Prix dan saingan Asia," katanya.

Berita Harian X