Khamis, 28 April 2022 | 5:59pm
Pelumba dalam pembikinan, Hakim Danish Ramli.
Pelumba dalam pembikinan, Hakim Danish Ramli.

Hakim Danish janji aksi terbaik di ETC bulan depan

KUALA LUMPUR: Pelumba dalam pembikinan, Hakim Danish Ramli berpeluang menguji Litar Estoril dan motosikal yang bakal digunakannya di Kejuaraan European Talent Cup (ETC) pada 8 Mei ini.

Pada sesi ujian rasmi yang berlangsung di litar sama bagi pusingan pembuka tirai musim 2022 itu semalam, pelumba pasukan SIC Racing ETC itu mempunyai ruang untuk menyesuaikan diri dengan motosikal serta atmosfera di Estoril.

Walaupun keadaan cuaca tidak begitu mengizinkan manakala jentera menghadapi masalah, pelumba berusia 15 tahun percaya, sesi berkenaan mampu membantunya untuk melakukan yang terbaik minggu depan.

"Alhamdulillah ujian berjalan dengan lancar," kata Hakim. "Hujan agak lebat di sebelah pagi namun saya tetap keluar untuk melihat keadaan trek serta motosikal. Saya gembira dengan keadaan motosikal serta pasukan.

"Di sebelah petang pula, keadaan litar sudah kering sepenuhnya. Begitupun ada sedikit masalah dengan motosikal, saya hanya dapat keluar sebanyak tiga pusingan saja. Apapun, saya akan buat yang terbaik di Estoril nanti (pusingan pertama)."

Hakim membuat kemunculan sulung di ETC yang penuh mencabar baginya pada musim lalu sebelum menamatkan kempen dengan satu mata diraihnya ketika menamatkan Perlumbaan 2 di Litar Jerez, Sepanyol di tempat ke-15.

Untuk rekod, Hakim bukan calang-calang pelumba di peringkat Asia Talent Cup (ATC) 2022 dengan pada saingan di Litar Mandalika, Indonesia 20 Mac lalu meraih dua kemenangan masing-masing di Perlumbaan 1 dan 2.

Berita Harian X