Khamis, 21 April 2022 | 6:50pm
Danial Syahmi Ahmad Shahril bakal mencipta sejarah sebagai pelumba kedua menyertai saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup selepas kali terakhir disertai Hafiq Azmi pada 2011 dan 2012. - Foto BERNAMA
Danial Syahmi Ahmad Shahril bakal mencipta sejarah sebagai pelumba kedua menyertai saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup selepas kali terakhir disertai Hafiq Azmi pada 2011 dan 2012. - Foto BERNAMA

Dua pelumba negara bakal gegar GP Portugal

KUALA LUMPUR: Dua pelumba muda negara, bakal menggegarkan Litar Algarve yang menjadi lokasi bagi Grand Prix (GP) Portugal, hujung minggu ini.

Semalam, Syarifuddin Azman diumumkan sebagai pengganti pelumba pasukan Rivacold Snipers Team, Alberto Surra dalam saingan kelas Moto3 di GP Portugal dan GP Sepanyol seminggu selepas itu.

Turut bakal beraksi di litar sama adalah rakan seperjuangan Syarifuddin Azman, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang bakal mencipta sejarah sebagai pelumba kedua menyertai saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup selepas kali terakhir disertai Hafiq Azmi pada 2011 dan 2012.

"Rasa sangat gembira kerana ini adalah salah impian saya untuk menyertai Red Bull Rookies Cup," kata Danial yang turut dijadual menyertai Kejuaraan Dunia JuniorGP yang bakal membuka tirai saingan 2022 di Litar Estoril pada 8 Mei ini. Saya sangat gembira dapat membawa jentera dan kategori baharu dan tak sabar untuk perlumbaan pertama hujung minggu ini."

Red Bull Rookies Cup dijadual berlangsung sebanyak tujuh pusingan bermula di Portimao hujung minggu ini sebelum saingan kemuncak musim berakhir di Litar Aragon, Sepanyol, September nanti.

"Bagi saya, Red Bull Rookies Cup ini jauh lebih mencabar daripada Asia Talent Cup (ATC) kerana tahap saingan ATC berada di bawah sedikit manakala Red Bull Rookies Cup lebih mencabar.

"Ini kerana pelumba di Red Bull Rookies Cup lebih agresif berbanding dengan pelumba ATC. Pada ujian pra musim minggu lalu dalam sesi litar basah, saya dapat berada dalam kelompok lima terbaik, jadi saya berasa gembira dan yakin.

"Pada sesi kering, saya dapat buat enam sesi dan dari semasa ke semasa dapat menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit. Saya dapat nombor 14 dan yakin pada minggu ini, boleh meningkat dengan lebih baik dan saya akan memberikan cabaran pada kelompok depan.

"Untuk Red Bull Rookies Cup ini, saya akan lihat prestasi saya pada pusingan pertama. Sekiranya dapat berada dalam kelompok lima terbaik, itu sesuatu yang baik dan sudah tentu dari semasa ke semasa saya inginkan podium," katanya yang perlu menyesuaikan diri dengan jenteraKTM RC 250 R.

"Bagi saya, motosikal lebih kurang sama, mungkin KTM lebih sukar berbanding motosikal Honda yang digunakan di ATC. Motosikal KTM ini mempunyai lebih kuasa berbanding Honda dan cara tunggangannya pun berbeza.

"Dari semasa ke semasa, saya sudah menunjukkan peningkatan dan berasa selesa dengan motosikal. Saya yakin pada minggu ini akan dapat lebih keyakinan," kata Danial Syahmi.

Berita Harian X