Selasa, 12 April 2022 | 6:16pm
Gambar fail - Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli.
Gambar fail - Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli.

Hakim enggan menaruh harapan tinggi di Litar Estoril

KUALA LUMPUR: Pelumba dua roda negara yang sedang dalam pembikinan, Hakim Danish Ramli bakal memasuki musim keduanya dalam saingan European Talent Cup (ETC) yang dijadual membuka tirai musim 2022 di Litar Estoril, pada awal bulan depan.

Hakim Danish bakal memasuki kelas yang dipertandingkan dalam Kejuaraan Dunia JuniorGP itu dengan membawa momentum dua kemenangan pada pusingan 1 Asia Talent Cup (ATC) yang berlangsung di Litar Mandalika, Indonesia, Mac lalu.

Begitupun, bagi pelumba SIC Racing Team itu, dia tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi di Litar Estoril yang secara umumnya saingan di ETC lebih mencabar berbanding ATC.

"Saya rasa untuk tahun ini, saya tak nak cakap apa-apa lagi. Namun kita akan melihat dulu (cabaran) di perlumbaan pertama nanti kerana saya mempunyai sebuah pasukan yang bagus.

"Sebelum ke ETC, saya sudah beraksi di ATC dan meraih dua penamat di pentas podium dan saya akan teruskan rentak berkenaan di Estoril dan cuba melakukan yang terbaik," kata pelumba berusia 15 tahun itu yang kini menjalani latihan di Sepanyol.

Pada penampilan sulung di ETC musim lalu, Hakim Danish berjaya meraih satu mata berharga di Pusingan 6 dalam aksi Perlumbaan 2 yang menyaksikan dirinya menemui garisan penamat di tempat ke-15.

Hakim Danish turut menyatakan yang dia sudah menguji jentera musim 2022 di Valencia dua minggu lalu sekali gus memberi ruang untuknya menyesuaikan diri bersama motosikal serta pasukan.

"Saya sudah menguji motosikal dua minggu lalu di Valencia," kata Hakim Danish. "Bagi saya kali pertama di Valencia dan saya gembira dengan keadaan motosikal itu. Mengenai pasukan, tahun lalu saya juga ada bersama mereka dan untuk tahun ini, sudah tentu saya sudah lebih mengenali mereka."

Berita Harian X