Khamis, 31 March 2022 | 5:30pm
Shafriman akui bajet tahun ini amat ketat tetapi sedia pertimbangkan penganjuran WSBK pada masa akan datang.
Shafriman akui bajet tahun ini amat ketat tetapi sedia pertimbangkan penganjuran WSBK pada masa akan datang.

SIC timbang anjur semula WSBK

KUALA LUMPUR: Pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tidak menolak kemungkinan untuk membawa semula saingan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) selepas kali terakhir dianjurkan di litar berkenaan pada 2016.

Selain Grand Prix (GP) Malaysia, WSBK menjadi salah satu kejuaraan dua roda antarabangsa yang amat dinanti-nantikan peminat sukan permotoran tanah air terutama pada musim ini, pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah beraksi di kelas WorldSBK.

Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya masih belum mempunyai perancangan untuk membawa WSBK pada masa ini disebabkan kekangan bajet dan tidak menolak penganjurannya sekiranya menerima peruntukan sewajarnya.

"Setakat ini, tak ada dalam perancangan lagi," kata Shafriman ketika ditemui.

"Pada masa ini, bajet amat ketat untuk tahun ini namun sekiranya berpeluang dan ada bajet, kita akan pertimbangkan untuk membawa masuk WSBK ke SIC."

Untuk rekod, Malaysia mula berada dalam kalendar WSBK di Litar Shah Alam pada 1990 dan 1991 sebelum kalendar saingan berpindah ke Litar Pasir Gudang, Johor sehingga 1993.

Selepas 21 tahun tidak dianjurkan di Malaysia, WSBK kembali bertandang ke Malaysia dan dianjurkan di SIC pada 2014 sehingga 2016 dan menyaksikan bekas pelumba negara yang kini menguruskan pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin pernah meraih penamat di podium pada tahun terakhir penganjuran.

Pada ketika itu, Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto2 dan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia menamatkan saingan kelas Supersport di tempat kedua selepas bermula dari petak kelima.

Berita Harian X