Ahad, 27 March 2022 | 4:35pm
Hafizh pada ujian pramusim di Litar Catalunya. - Foto Mie Racing Honda
Hafizh pada ujian pramusim di Litar Catalunya. - Foto Mie Racing Honda

Hafizh perlu masa kenali jentera baharu

KUALA LUMPUR: Semua masih baharu!

Itu kesimpulan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengenai 'dunia baharunya' di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) selepas tamat dua hari ujian pramusim di Litar Catalunya, Sepanyol, semalam.

Pelumba pasukan Mie Racing Honda yang beralih ke saingan WSBK dari Kejuaraan Motosikal Dunia pada musim ini berkata, ujian pramusim ini disifatkan sebagai pentas untuknya mengenali jentera baharu Honda CBR1000RR-R FIREBLADE serta kru pasukan.

"Tanggapan pertama saya mengenai Superbike Honda sangat menakjubkan memandangkan saya tidak pernah berpeluang menunggang motosikal ini," kata Hafizh yang beraksi dalam kelas WorldSBK.

"Semuanya baharu, bukan saja motosikal tetapi juga tayar, suspensi dan kru... jadi kami semua perlu mengenali antara satu sama lain.

"Ia akan mengambil masa untuk memahami segala-galanya, jadi secara asasnya, di sepanjang satu setengah hari pertama dalam keadaan litar kering, kami hanya memasuki trek untuk pelarasan asas dan menggunakan pelarasan sama, tanpa menukar apa-apa.

"Adalah amat penting untuk mencatat beberapa catatan masa dan pada penghujungnya, apabila kami mahu menukar tayar baharu, cuaca bertukar hujan. Saya berasa selesa dalam keadaan litar basah tetapi sudah pasti kami mahukan lebih baik dalam keadaan litar kering dan lebih pantas berbanding di sini.

"Kami akan berusaha dengan elektronik dan melakukannya di Aragon, saya pasti kami akan lebih pantas dan mampu mengurangkan jurang masa yang ada. Kami juga berpeluang untuk mencuba pelbagai jenis tayar, spesifikasi yang lebih lembut yang tidak ada keperluan diuji di sini. Saya amat menantikan untuk ke Aragon dalam tempoh beberapa hari lagi."

Hafizh, 27, dijadual menyertai satu lagi ujian sokongan Dorna di Litar Aragon dari 4 hingga 5 April ini dan ia akan menjadi pentas terakhir ujian sebelum saingan musim membuka tirainya di litar sama, tiga hari kemudian.

Sesi ujian dua hari berlangsung dengan keadaan cuaca tidak menentu dan Hafizh melengkapkannya dengan berada di tempat ke-30 daripada 33 pelumba dengan catatan masa sepusingan, 1 minit 45.539 saat.

Berita Harian X