Isnin, 21 March 2022 | 9:03pm
Hakim (tengah) bersama pemenang tempat kedua dan ketiga Pusingan 2 ATC di Mandalika minggu lalu. Foto FB Zulfahmi Khairuddin.
Hakim (tengah) bersama pemenang tempat kedua dan ketiga Pusingan 2 ATC di Mandalika minggu lalu. Foto FB Zulfahmi Khairuddin.

Zulfahmi harap Hakim kekal prestasi

KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin mengharapkan momentum kejayaan Hakim Danish Ramli dapat diteruskan selepas pelumba muda berbakat besar itu mendominasi kemenangan di Pusingan 2 Asia Talent Cup (ATC) di Litar Mandalika, Indonesia, minggu lalu.

Hakim yang memasuki tahun keduanya di ATC memenangi Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 sekali gus mengatasi pencabar terutama dari Jepun seperti Gun Mie yang menduduki tempat ketiga keseluruhan musim lalu.

Bagi Zulfahmi, Hakim nyata menunjukkan prestasi sebenar yang ada dalam dirinya selepas pasukan mengatur semula strategi selepas meraih keputusan kurang memberangsangkan di perlumbaan pembuka tirai di Litar Antarabangsa Losail, Qatar awal bulan ini.

"Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi Hakim memenangi Perlumbaan 1 dan 2. Selepas kekalahan atau keputusan tak memberangsangkan di Qatar, kami banyak mengulangkaji atau menyusun semula strategi pasukan sebelum terbang ke Mandalika.

"Apabila tiba di Mandalika, kami lebih bersedia dan ternyata Hakim di sesi ujian, kelayakan dan perlumbaan, dia mampu berada dalam kelompok kompetitif. Apabila tiba di Perlumbaan 1 dan 2, dia menunjukkan prestasi sebenarnya.

"Kami harap momentum ini dapat dikekalkan," kata Zulfahmi mengulas mengenai pencapaian pelumba berusia 14 tahun itu yang pada ketika ini mendahului carta keseluruhan dengan 72 mata manakala Shinya Ezawa berada di tempat kedua, 71 mata.

Amon Odaki berada di tempat ketiga bersama Hamad Al-Sahouti dengan 54 mata.

Selain Hakim, pasukan turut mempertaruhkan tiga lagi pelumba muda iaitu Farres Putra Fadhill, Emil Idzhar Ezuan dan Farish Hafiy Farid Sezli yang bagi Zulfahmi turut menunjukkan peningkatan pada tahun pertama mereka di ATC.

"Untuk tiga pelumba baharu, Farres, Emil dan Farish, mereka menunjukkan peningkatan dan saya harap boleh mempersiapkan mereka dengan lebih mantap lagi supaya mereka lebih bersedia untuk perlumbaan seterusnya," kata Zulfahmi.

Pusingan 3 musim 2022 dijadual berlangsung di Twin Ring Motegi pada September dan Hakim selepas ini bakal memberi tumpuan pada penyertaannya di European Talent Cup (ETC) di Litar Estoril, Mei ini.

Berita Harian X