Isnin, 14 March 2022 | 8:31pm
Gambar fail - Pelumba negara pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Hafizh Syahrin Abdullah.
Gambar fail - Pelumba negara pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK), Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh berlepas ke Sepanyol sebagai seorang ayah

KUALA LUMPUR: Pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah dijadual berlepas ke Barcelona, Sepanyol pada 22 Mac ini untuk memulakan kempen pra musimnya pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2022.

Hafizh yang mewakili pasukan MIE Racing Honda Team dalam kelas perdana, WorldSBK bakal menguji jentera baharunya, Honda CBR1000RR-R buat kali pertama di sana sebelum kempen 2022 membuka tirai secara rasmi di Litar Aragon dari 8 hingga 10 April.

Pelumba berusia 27 tahun yang baharu bergelar bapa minggu lalu berkata, dia bersyukur dapat meluangkan masa dan bersama isterinya, Noor Suzana Abdul Manaf ketika melahirkan anak sulung mereka sebelum saingan kempen bermula.

"Satu pengalaman baharu dalam bilik bersalin dan teruja apabila dapat melihat zuriat sendiri," kata Hafizh yang berpengalaman luas pada Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto2 dan MotoGP itu.

"Alhamdulillah bayi lelaki seberat lebih 3.8 kilogram (kg) dan lahir pada 10 Mac lalu. Saya akan berangkat pada minggu depan bagi musim baharu WorldSBK dan bersyukur dapat menimang bayi sebelum musim bermula. Ini bakal menjadi tambahan semangat buat saya untuk musim baharu nanti."

Hafizh bakal bergandingan bersama pelumba dari Argentina Leandro Mercado yang pada musim lalu berada di tangga ke-21 keseluruhan dalam carta pelumba bagi kelas perdana di WSBK, WorldSBK.

Kalendar WSBK 2022 bakal menyaksikan 12 pusingan berlangsung dengan tirai saingan dijadual bertempat di Litar Aragon, Sepanyol dari 8 hingga 10 April ini sebelum ke Litar TT Assen, Belanda untuk pusingan kedua musim.

Berita Harian X