Ahad, 13 March 2022 | 5:50pm
Ahmad Afif (kanan) meraikan kejayaan memenangiPusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (Utara), hari ini.
Ahmad Afif (kanan) meraikan kejayaan memenangiPusingan 1 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (Utara), hari ini.

Ahmad Afif bermula langkah kanan Cub Prix Malaysia

KUALA LUMPUR: Juara keseluruhan CP150 2018 dan 2019, Ahmad Afif Amran membuka tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 dengan langkah kanan apabila memenangi perlumbaan Pusingan 1 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Utara), hari ini.

Kemenangan itu secara tidak langsung memberi isyarat awal, betapa Afif dan juga pasukannya PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing kini berada di landasan tepat untuk memburu gelaran berganda dalam kategori pelumba dan pasukan seperti diraih mereka pada 2019.

Kali terakhir Afif meraih kemenangan adalah di Pusingan 9 2021 yang berlangsung di Litar Antarangsa Sepang (Selatan) dan menamatkan kempen tahun lalu selaku naib juara di belakang pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar.

"Syukur, permulaan yang baik pada tahun ini. Saya juga berterima kasih kepada pasukan yang sudah berusaha gigih dari hujung musim lalu sehingga Pusingan 1 ini. Kami tidak henti-henti membuat R&D (penyelidikan dan pembangunan) terhadap jentera, selalu mengujinya dan apa yang kurang selalu diperbaiki.

"Untuk sasaran itu, saya ingin membantu pasukan untuk meraih gelaran juara pasukan keseluruhan tahun ini," kata Afif yang pada tahun ini bergandingan bersama Md Izzat Zaidi Md Salehan dan Md Aiman Tahiruddin.

Dalam perlumbaan 11 pusingan tadi, Afif menamatkan perlumbaan dengan catatan terpantas 14 minit 32.412 saat manakala rakan pasukannya yang baharu menyertai pasukan, Izzat menamatkan saingan di tempat kedua, 14:32.435s.

Melengkapkan pentas podium adalah pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Haziq Md Fairues dengan catatan 14:32.455s manakala Aiman menemui garisan penamat di tempat ke-12.

"Saya bersyukur kerana dapat menaiki podium bersama Afif, rakan pasukan saya pada tahun 2022 ini. InsyaAllah, semoga tahun 2022 memihak kepada CKJ Racing Team," kata Izzat.

Pusingan 2 musim dijadual berlangsung di Litar Tangkak, Johor pada 14 dan 15 Mei ini.

Berita Harian X